Agong, Raja Permaisuri solat sunat Aidilfitri bersama petugas Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong dan anakanda baginda Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama, Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong dan anakanda baginda Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama, Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara, hari ini.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di Surau Utama Istana Negara pada 9 pagi bersama anakanda baginda, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Solat sunat itu dipimpin oleh Penolong Pegawai Agama Istana Negara Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disertai 50 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai serta petugas Istana Negara.

Solat sunat berkenaan dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuklah penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.

Khutbah Aidilfitri yang bertajuk 'Aidilfitri Dirai, Norma Baharu Diinsafi' dibacakan Pengawai Agama Istana Negara Munir Md Salleh yang antaranya menyeru umat Islam seluruh negara agar tabah menghadapi ujian pandemik Covid-19, selain mengingatkan supaya patuh SOP.

Ini merupakan kali kedua Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat sunat itu di Istana Negara berikutan pelaksanaan PKP di seluruh negara pada tahun lepas dan tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: