X

Kindly register in order to view this article
!

Enam tahun beraya di kaki lima

Mohd Alaudin (kiri) ketika ditemui pada program Kongsi Nikmat anjuran Yayasan Setia Negara Malaysia (YASENM) pada 1 Mei lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Di saat orang lain sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, namun tidak bagi Mohd Alaudin Pawan Chik, 45, yang berasal dari Butterworth, Penang.

Hidupnya tidak bernasib baik apabila hampir enam tahun beraya di kaki lima sekitar jalan Tun Abdul Rahman (TAR).

Ketika berkongsi pengalaman berhari raya sebagai gelandangan, Mohd Alaudin berkata, tiada apa yang menarik untuk dikongsikan memandangkan hidupnya yang sebatang kara.

“Setiap kali menjelang hari raya memang saya akan beraya di kaki lima sahaja. Pernah juga dapat bantuan baju raya, tetapi tak selalu. Ikut nasib.

“Biasanya dapat set baju Melayu,” luahnya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Dari riak wajahnya, terlihat semangat untuk meneruskan kehidupan, namun mungkin nasib tidak menyebelahinya hanya menjadi penghuni kaki lima.

Mohd Alaudin berkata, sebelum ini, dia pernah pulang ke kampung halaman untuk beraya, tetapi dikecam hebat oleh orang kampung kerana dirinya bekas banduan.

“Saya pernah balik ke kampung, tetapi bila orang kampung tahu kita bekas banduan memang tidak terima. Lagi-lagi tidur di tepi jalan.

“Saya juga teringin hendak rasa macam mana keluarga lain beraya. Walaupun mak ayah saya sudah meninggal, dapat berkumpul dengan adik-beradik pun sudah satu nikmat untuk saya. Tapi itulah saya tidak pernah rasa semua itu,” katanya dengan nada sedih.

Sebelum ini, dia pernah melalui titik-titik hitam dalam kehidupannya apabila dikenakan hukuman penjara berikutan terlibat dengan kes jenayah.

Mohd Alaudin berkata, pada awalnya dia hanya menerima hukuman kecil yang mana penjara selama enam bulan.

“Pertama kali masuk penjara pada tahun 1999 kerana terlibat dengan kegiatan merompak.

“Kemudian kali kedua masuk penjara tahun 2012. Saya nekad untuk bakar kedai majikan saya kerana tidak bayar gaji.

“Kena hukuman penjara empat tahun. Namun, setelah mendapat keampunan, saya dipenjara selama dua tahun lapan bulan sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, nasib tetap tidak menyebelahi Mohd Alaudin apabila dia sukar untuk mendapatkan pekerjaan susulan statusnya yang bergelar banduan.

“Selepas keluar penjara, hendak cari kerja memang susah. Sebab orang tahu kita ini banduan.

“Pernah juga dapat kerja sebagai pengawal keselamatan. Tapi kena tipu. Majikan tidak bayar gaji. Ini yang menyebabkan saya sudah tidak semangat hendak cari kerja,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!