'Saya tahu rakyat marah'- Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri malam ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sambutan Aidilfitri telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan yang sukar dan tidak popular itu terpaksa dibuat untuk mellindungi nyawa rakyat kerana negara ketika ini sedang berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan bagi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih parah.

Menurutnya, rakyat harus faham bahawa negara ketika ini sedang sedang berhadapan dengan virus yang begitu cepat merebak lebih-lebih lagi dengan kehadiran mutasi varian baharu.

“Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah Kerajaan ini?

“Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, mana lah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif Covid-19,” katanya ketika perutusan khas Perdana Menteri pada Rabu.

Jelas Muhyiddin, disebabkan ramai pesakit Covid-19 kini tidak menunjukkan sebarang simptom, ia telah menyukarkan lagi usaha negara untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu.

“Kalau dia ziarah 10 rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti Covid-19. Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang sukar dan tidak popular itu kerana mengambil kira keseriusan situasi penularan Covid-19 di Malaysia.

“Keputusan ini tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati saudara dan saudari. Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian.

“Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada ALLAH,” ujarnya.