Polis kenal pasti individu pecah kon penghadang jalan

Polis telah mengenal pasti individu yang dipercayai merosakkan kon penghadang jalan. Gambar hiasan
Polis telah mengenal pasti individu yang dipercayai merosakkan kon penghadang jalan. Gambar hiasan
A
A
A
BUKIT GANTANG - Polis telah mengenal pasti individu yang dipercayai merosakkan kon penghadang jalan di persimpangan Jalan Simpang Halt ke Jalan Perusahaan Kamunting Raya di Taiping bagi menghalang aktiviti merentas daerah pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian memecahkan sebanyak lima kon yang berisi air itu dipercayai dilakukan pada waktu malam di kawasan sempadan Mukim Taiping dengan Mukim Matang.

Menurutnya, pihaknya menyedari kejadian itu apabila anggota yang membuat pemeriksaan pada keesokan pagi mendapati, lima kon berisi air itu dalam keadaan telah dipecahkan.

“Perbuatan merosakkan harta benda awam adalah menjadi kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana mendatangkan khianat,” katanya ketika ditemui pemberita pada pemeriksaan di Plaza Tol Changkat Jering dekat sini petang Rabu.

Osman berkata, kon penghadang jalan diletakkan di jalan berkenaan, setelah Mukim Taiping dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 7 Mei lepas hingga 20 Mei ini.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan mengadakan operasi khas bagi mengesan individu yang merentas negeri tanpa kebenaran ke daerah ini pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, Khamis.

Katanya, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menjalankan pemeriksaan di plaza tol dan di stesen keretapi di Taiping untuk memastikan tiada yang cuba merentas negeri. - Bernama