Komander kanan Hamas, tiga anggota Jihad Islam terbunuh

Asap hitam kelihatan selepas Tentera Israel melancarkan serangan udara di kawasan berhampiran Taman Barcelona, Genting Gaza pada Rabu lalu. - Foto AFP
Asap hitam kelihatan selepas Tentera Israel melancarkan serangan udara di kawasan berhampiran Taman Barcelona, Genting Gaza pada Rabu lalu. - Foto AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Tindakan zalim tentera Israel dalam serangan udara di Genting Gaza, Palestin didakwa telah mengorbankan seorang komander Hamas, Iyad Fathi Faik Sharir pada tengah hari Selasa.

Selain Iyad Fathi yang mengetuai sebuah unit misil antikereta kebal, tiga komander kanan daripada Jihad Islam iaitu kumpulan pejuang Palestin dikatakan turut terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Israel.

"Kami baru membunuh komander Hamas yang mengetuai unit misil anti kereta kebal, Iyad Fathi Faik Sharir. Beliau ditugaskan untuk mengendalikan serangan misil ke atas tentera Israel," kata satu kenyataan tentera Israel menerusi Twitter.

Dalam pada itu, tiga anggota Jihad Islam itu terbunuh dalam sebuah bangunan apartmen di kawasan penduduk al-Rimal di bandar Gaza dalam serangan udara Israel.

Tentera Israel dan Shin Bet dalam satu kenyataan mendakwa, ketiga-tiga mereka yang dibunuh bertanggungjawab terhadap serangan roket yang dilancarkan oleh kumpulan Jihad Islam ke atas Israel.

Sementara itu menurut media Palestin, beberapa orang lagi cedera dalam serangan tersebut tetapi masih belum diketahui sama ada mereka ialah orang awam atau anggota kumpulan pejuang Palestin.

Situasi tegang di Gaza bermula selepas pergerakan Hamas memberikan kata dua kepada Israel supaya pasukan keselamatan rejim Zionis berundur dari Masjid Al-Aqsa dan kawasan penduduk Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur yang merupakan masjid ketiga paling suci dalam agama Islam.

Bagaimanapun, kata dua itu tidak dipatuhi oleh rejim Zionis menyebabkan Hamas melancarkan serangan-serangan roket ke arah Israel pada Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

Pertempuran antara penduduk Palestin dengan polis Israel berlaku sejak beberapa hari lalu di pekarangan masjid tersebut.

Penduduk Palestin bertindak membantah tindakan Israel merampas rumah-rumah keluarga Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur selepas sebuah mahkamah daerah Yahudi di Baitulmaqdis membuat keputusan pada awal tahun ini untuk mengusir beberapa keluarga Palestin. - Agensi