Dugaan menjelang raya, penduduk dilanda banjir kilat

Antara kediaman penduduk yang dinaiki air. Keadaan banjir kilat yang melanda Kampung Bentong.
Antara kediaman penduduk yang dinaiki air. Keadaan banjir kilat yang melanda Kampung Bentong.
A
A
A

KLUANG - Ketika kebanyakan umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Syawal, berbeza pula bagi penduduk di Kampung Bentong, di sini apabila terpaksa bergelut dengan masalah banjir kilat.

Lebih mengharukan, mereka dilanda kebimbangan jika keadaan sama berulang setiap kali hujan lebat melanda.

Ketua Kampung Bentong, Zailan Kadir, 61, berkata, walaupun banjir kilat yang melanda hanya seketika, namun mereka 'letih' kerana terpaksa berdepan dengan masalah sama.

"Hujan lebat selama hampir lima jam selepas Zohor mengakibatkan air Sungai Melantai yang merentasi Kampung Bentong melimpah sekali gus menjejaskan kira-kira 18 kediaman penduduk.

"Kami memang cemas sebab masing-masing sedang sibuk membuat persiapan untuk beraya. Bimbang keadaan lebih buruk, kami angkut barang di tempat yang selamat.

"Ini bukanlah kali pertama banjir kilat melanda kerana dalam tempoh beberapa bulan sahaja, sudah beberapa kali banjir, paling teruk pada awal Januari lalu," katanya.

Difahamkan, banjir kilat itu dipercayai akibat pembangunan di sekitar kawasan kampung itu yang menyebabkan sungai berkenaan sudah tidak mampu menampung kapasiti air jika hujan lebat.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada meninjau keadaan banjir kilat di kawasan itu petang tadi.

Artikel Berkaitan:

"Saya harapkan ada penyelesaian kepada masalah ini. Kami tak halang pembangunan tapi harapnya ambil kira masalah yang dihadapi penduduk kampung.

"Sebolehnya dalamkan sungai yang ada, pada masa yang sama bersihkan sungai agar tidak lagi berlaku kejadian sama," katanya.