Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup rendah pada Rabu berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut, berikutan kebimbangan mengenai inflasi yang melanda Asia, selain jumlah kes Covid-19 harian yang tinggi di Malaysia.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan merosot 70 mata asas dan ditutup pada 4.1230/1280 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1210 ketika ditutup pada Selasa.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, mata wang serantau akan kekal berada di bawah tekanan sehingga data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kebimbangan mengenai inflasi adalah nyata.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang diumumkan baru-baru ini turut mempengaruhi sentimen tempatan, bagaimanapun isu mengenai inflasi menguatkan lagi gambaran tersebut,” katanya.

Kementerian Kesihatan melaporkan kes baharu Covid-19 naik kepada 4,765 hari ini berbanding 3,973 pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes di dalam negara sebanyak 453,222.

Sementara itu, menurut laporan berita, inflasi AS mencecah 2.6 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Mac, melepasi sasaran Rizab Persekutuan sebanyak dua peratus, justeru mewujudkan kebimbangan Fed akan menaikkan kadar faedah untuk meredakan suasana.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit rendah pada Rabu berikutan sentimen risiko global masih tidak stabil disebabkan kebimbangan mengenai inflasi dan peniaga menunggu data mengenai IHP AS malam ini.

“Data yang lebih kukuh mampu mempengaruhi pasaran yang tidak menentu dan mendorong hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi,” katanya, sambil menambah gabungan potensi hasil yang lebih tinggi dan kebimbangan mengenai kes Covid-19 tempatan terus mempengaruhi ringgit pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, unit tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit naik kepada 3.1023/1073 daripada 3.1027/1085 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 5.0028/0102 daripada 5.0071/0140 sebelum ini.

Unit tempatan menyusut berbanding pound kepada 5.8279/8353 daripada 5.8171/8259 dan turun berbanding yen kepada 3.7909/7966 daripada 3.7814/7863 pada Selasa. - Bernama