Covid-19: Lagi kes varian India dikesan di Malaysia

Pegawai bertugas membantu para pelancong dan rakyat Malaysia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika tinjauan baru baru ini. Gambar hiasan
Pegawai bertugas membantu para pelancong dan rakyat Malaysia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika tinjauan baru baru ini. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat satu lagi kes varian India VOI B.1.617.2 dikesan di Malaysia melibatkan bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu tiba di Malaysia pada 7 April dan telah menjalani ujian Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

"Kedua-dua ujian saringan Covid-19 yang dijalankan pada 7 April 2021 dan 12 April 2021 adalah negatif.

"Bagaimanapun, beliau dilaporkan positif Covid-19 pada 21 April 2021 apabila beliau dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma setelah mengalami gejala Covid-19 yang serius. Keadaan kesihatan beliau terus merosot dan dilaporkan meninggal dunia pada 1 Mei 2021," ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 14 kes tempatan yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 dikenal pasti dari 3 Mei 2021 sehingga 10 Mei 2021.

"Ia diperolehi dari survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 33 sampel Covid-19. Kes-kes ini telah dikesan di negeri Kelantan, Kedah, Selangor, dan Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat untuk mengelakkan dari menghadiri sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat Hari Raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan serta menangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi termasuk menziarahi kubur.

“Rakyat dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat Hari Raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan, dan menangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi termasuk di kubur.

“Ingin diingatkan bahawa pada tahun ini sahaja, terdapat peningkatan kluster yang begitu ketara,” tambahnya.

Artikel Berkaitan: