Kelewatan bina LCS bermula sejak zaman BN: Chin Tong

Chin Tong
Chin Tong
A
A
A

SHAH ALAM - Kelewatan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) telah bermula sejak tahun 2015 lagi iaitu semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, kata bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, tanggapan yang dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan bahawa siasatan oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap projek tersebut menjadi punca kepada kelewatannya adalah tidak tepat.

Malah katanya, apa yang dilakukan oleh PH pada ketika itu adalah untuk menyelesaikan masalah berpunca daripada isu ‘vendor-driven, rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam projek tersebut.

“Sebaliknya, apa-apa kelewatan yang dialami projek tersebut berpunca daripada ketidakcekapan dan ketiadaan integriti kerajaan UMNO dan BN itu sendiri. Kelewatan bermula sejak tahun 2015 lagi.

“Ia berpunca daripada reka bentuk terperinci (detailed design) yang sehingga hari ini masih belum dimuktamadkan, selain masalah kecairan kewangan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang sedikit sebanyak terhasil daripada penyelewengan kewangan dan pengurusan projek yang tidak cekap,” katanya dalam kenyataan di laman web rasminya pada Rabu.

Jelas beliau, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang ditubuhkan oleh PH itu juga berjaya menemui punca kelewatan dalam projek tersebut.

Menurutnya, siasatan JKSTUPKK juga mencadangkan supaya projek itu diteruskan dengan kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pertimbangan yang paling utama di samping penetapan syarat yang lebih ketat bagi mengelakkan penyelewengan.

Pada masa sama, Chin Tong turut meminta Ismail Sabri supaya menerbitkan semua laporan yang dibuat oleh JKSTUPKK tentang projek LCS bagi membolehkan rakyat menilai sendiri mengenai isu yang berlaku dalam projek tersebut.

Artikel Berkaitan: