'Terkilan tak dapat cium, kebumi tok'

Petugas pengurusan jenazah pesakit COVID-19 menurunkan jenazah seorang mangsa di Tanah Perkuburan Islam Setali untuk dikebumikan sehari sebelum Aidilfitri hari ini. - Foto Bernama
Petugas pengurusan jenazah pesakit COVID-19 menurunkan jenazah seorang mangsa di Tanah Perkuburan Islam Setali untuk dikebumikan sehari sebelum Aidilfitri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Tidak boleh menabur bakti akhir menguruskan jenazah insan tersayang menjadikan perpisahan abadi lebih pahit daripada pengalaman berdepan kematian lain buat waris pesakit Covid-19.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 46, berkata rasa terkilan amat dirasai apabila hanya mampu melihat empat individu tidak dikenali dengan sut peralatan perlindungan diri (PPE) mengebumikan jenazah neneknya, di sebalik pagar tanah perkuburan.

Neneknya yang berusia 84 tahun merupakan pesakit Covid-19 daripada kluster Tanah Putih Baru di sini, dengan kluster itu dipercayai berpunca akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid semasa aktiviti berbuka puasa atau moreh.

"Ralat di hati kerana kami langsung tidak boleh menatap, mencium tok (gelaran neneknya) buat kali terakhir...tidak berpeluang untuk mandi, kafan atau solatkan jenazah sedangkan arwah ada lima anak dan ramai cucu yang boleh diharap untuk menguruskan jenazah.

"Baru dua hari lepas tok disahkan positif namun kesihatannya merosot dengan mendadak. Semalaman sahaja dia di unit rawatan rapi (ICU) sebelum kami dimaklumkan sudah dijemput Ilahi...tak sempat kami bisikkan kalimah syahadah kepadanya," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali di sini hari ini.

Siti berkata selain neneknya, tiga lagi ahli keluarganya juga disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan yang diwajibkan kepada semua penduduk Taman Tanah Putih Baru ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ pada 5 Mei.

Bagaimanapun, keadaan neneknya paling teruk disebabkan faktor usia selain menghidap penyakit lain termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Buat masa ini, ayah, ibu dan adik lelakinya sedang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan Siti berharap keluarganya tidak lagi menerima khabar duka dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Petugas pengurusan jenazah pesakit COVID-19 bersama-sama mengaminkan doa ketika menguruskan pengkebumian seorang mangsa di Tanah Perkuburan Islam Setali sehari sebelum Aidilfitri hari ini. - Foto Bernama
Petugas pengurusan jenazah pesakit COVID-19 bersama-sama mengaminkan doa ketika menguruskan pengkebumian seorang mangsa di Tanah Perkuburan Islam Setali sehari sebelum Aidilfitri hari ini. - Foto Bernama

"Tak sangka akhirnya ia (COVID-19) berlaku dalam keluarga kami. Lebih sedih, kami kehilangan insan tersayang sehari sebelum hari raya. Kami tidak tahu ada dalam kalangan keluarga yang dijangkiti kerana tiada simptom ketara.

"Ayah memang jemaah masjid dan mengalami demam hujung bulan lepas. Beberapa hari kemudian baru kami dimaklumkan mengenai kluster itu namun masih berharap tiada apa-apa kerana keadaan ayah semakin baik selepas mendapatkan rawatan di klinik," katanya.

Sehubungan itu, Siti berharap mana-mana penduduk Taman Tanah Putih Baru yang 'menghilangkan diri' dari rumah sejurus sebelum PKPD bermula dan belum tampil membuat saringan untuk segera pulang bagi mengambil ujian itu supaya status kesihatan mereka diketahui.

Setakat 12 tengah hari semalam, Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan jumlah pesakit positif daripada kluster Tanah Putih Baru ialah 177 orang, dengan 21 kes direkodkan semalam.

"Covid-19 bukan main-main. Jangan anggap ia tidak serius hanya kerana kita rasa sihat dan tidak ada simptom. Keluarga saya sudah melalui pengalaman pahit ini dan harapnya tiada lagi yang perlu merasainya.

"Untuk menamatkan kluster ini memerlukan kerjasama semua, bukan hanya jaga diri, namun dalam keadaan Covid-19 sudah merebak dalam komuniti, saya rasa kita semua perlu ada semangat menjaga jiran dengan melakukan ujian saringan," katanya. - Bernama