Budak 4 tahun dikhuatiri lemas, terjatuh dalam sangkar ikan

Mangsa, Saini Omar. Lokasi Saini dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laguna di kawasan sangkar penternakan ikan Sungai Semerak pada Rabu.
Mangsa, Saini Omar. Lokasi Saini dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laguna di kawasan sangkar penternakan ikan Sungai Semerak pada Rabu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kawasan sangkar penternakan ikan Sungai Semerak di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu mangsa, Saini Omar dilaporkan terjatuh ketika sedang bermain di atas perahu secara berseorangan di hadapan rumah kelongnya sementara kedua ibu bapanya berada di dalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Pegawai Bomba Kanan I Ahmed Mazdan Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 petang.

"Seramai 11 anggota termasuk pegawai telah dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Pasukan penyelamat di air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Bharu turut dikerah untuk membantu SAR," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, kejadian itu disedari oleh ibu mangsa selepas mendapati anaknya tiada di kawasan tersebut.

"Bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah menghubungi majikannya memaklumkan kejadian tersebut," katanya.

Ahmed Mazdan berkata, bagaimanapun tiada saksi yang menyaksikan kejadian lemas itu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan kedua-dua pasangan warga Kemboja itu telah lama bekerja di atas kelong berkenaan.

"Buat masa ini SAR masih lagi diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak jabatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.