X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Rakyat Malaysia tetap bersemangat sambut raya

JUADAH HARI RAYA... Persiapan tetap dibuat biarpun beraya secara sederhana di kota.
A
A

KUALA LUMPUR - Mood meraikan Aidilfitri tetap ‘dirasai’ di seluruh negara dengan orang ramai tetap membuat persiapan membeli kelengkapan raya dan barangan basah biarpun kebanyakan mereka kali ini cuma beraya di 'perantauan.’

Tinjauan Bernama di beberapa pasar pagi dan premis menjual kelengkapan raya yang sebelum ini menjadi tumpuan setiap kali menjelang Aidilfitri mendapati hampir kesemuanya 'meriah’ dengan pengunjung seawal jam 7 pagi dan majoriti premis serta pengunjung dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Di Pasar Chow Kit, pengunjung diarahkan berbaris untuk memasuki premis manakala kawasan sekitarnya dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), sesuai dengan SOP ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada Rabu.

Perkara sama dapat dilihat di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dan Pasar Seksyen 6 di Shah Alam, Selangor yang merupakan tempat tumpuan untuk membeli baju raya serta barangan keperluan bagi persiapan juadah Aidilfitri.

Pengunjung Pasar Seksyen 6, Mohd Muizzuddin Abdullah, 29, berkata, meskipun penat beliau akur untuk beratur seawal jam 7.30 pagi dan terpaksa menunggu lebih sejam sebelum dibenarkan masuk bagi mencari bahan memasak laksa yang dikirim isteri.

Orang ramai membeli daging di Kompleks Pasar dan Kemudahan Masyarakat Bayan Baru sebagai persiapan akhir bagi menyambut Aidilfitr . Foto: Bernama
Orang ramai membeli daging di Kompleks Pasar dan Kemudahan Masyarakat Bayan Baru sebagai persiapan akhir bagi menyambut Aidilfitr . Foto: Bernama

Tinjauan turut mendapati kebanyakan pusat beli-belah terkemuka yang tersenarai di dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) masih ditutup pada Rabu.

Selain menjaga SOP asas seperti pemakaian pelitup muka, berbaris dan penjarakan sosial, beberapa premis mengehadkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa.

Ini termasuk Pasar Besar Kuantan di Pahang yang mengehadkan 170 pengunjung pada satu-satu masa manakala pasar pagi Pekan Kota Sarang Semut di Kedah hanya membenarkan 20 orang dan Pasar Awam Larkin Sentral di Johor pula mengehadkan 200 individu pada satu-satu masa.

Paling menarik, pihak pengurusan Pasar Besar Melaka di Bachang, Melaka mengambil inisiatif menyediakan laluan khas untuk warga emas yang merupakan golongan berisiko dijangkiti Covid-19 selain mengehadkan kemasukan pengunjung kepada 20 orang pada satu-satu masa.

Pematuhan SOP juga dilihat memuaskan di Gerai Bawah Tali Api Manjoi, Perak serta Pasar Awam Taman Tun Sardon di Pulau Pinang dan seorang pengunjung, Rohani Rahman, 68, berkata beliau berasa selamat membeli barangan di pasar itu.

Bagaimanapun, keadaan sedikit berbeza di Pasar Awam Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pengunjung dilihat berkerumun di gerai-gerai tanpa beratur mengikut SOP sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa hadir membuat pemeriksaan.

Di Negeri Sembilan pula, aktiviti 'mantai' yang sinonim dengan Adat Perpatih dilihat masih mendapat sambutan sehingga menyaksikan seorang penjual daging mantai di Pasar Besar Seremban iaitu Daniel Zulkifli berjaya menjual kira-kira satu tan produknya seawal jam 9.30 pagi. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!