Slip bank Ismail meragukan: Pas Kedah

Sanusi (duduk, dua kanan) tengah ketika hadir dalam sidang media di Pejabat Pas Pokok Sena.
Sanusi (duduk, dua kanan) tengah ketika hadir dalam sidang media di Pejabat Pas Pokok Sena.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah tidak yakin salinan transaksi dana didakwa daripada UMNO kepada Pas yang ditunjukkan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh adalah benar.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Noor berkata, pihaknya ragu-ragu dengan tuduhan Adun Pengkalan Kundor itu dan dakwaannya memiliki bukti transaksi dana.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Kedah berkata, Dr Ismail menunjukkan salinan slip bank didakwa transaksi dana bernilai RM1 juta dan RM1.5 juta selepas dicabar Pas Kedah untuk mendedahkan bukti untuk tuduhan tersebut.

"Semalam, Dr Ismail kononnya mendedahkan salinan dokumen selepas dicabar kami untuk membuat laporan dan menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh 72 jam.

"Pada mulanya, Dr Ismail memaklumkan transaksi dana berkenaan berjumlah RM90 juta. Kemudiannya menambah yang jumlah dana disalurkan berjumlah lebih RM200 juta pula," katanya dalam sidang media di Pejabat Pas Pokok Sena, Langgar, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Sanusi berkata, pihaknya mendapati Exco Agama terbabit hanya menunjukkan salinan slip bank melibatkan jumlah RM1 juta dan RM1.5 juta.

"Saya tak yakin slip bank dikemukakan Dr Ismail adalah asli. Apa yang ditunjukkannya adalah salinan slip bank, yang mana saya juga boleh buat sendiri," katanya.

Sanusi turut mendesak Dr Ismail untuk mengemukakan bukti transaksi dana daripada UMNO kepada Pas bernilai RM90 juta seperti yang didakwa sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kepimpinan Pas Kedah ada yang pernah bekerja di bank, transaksi tertakluk di bawah peraturan tertentu yang menyebabkan ia tidak boleh didedahkan kepada umum.

"Jadi, kami mahu beliau buat dokumen transaksi dana itu sampai cukup RM90 juta," katanya.

Sanusi berkata, Dr Ismail tidak perlu kalut apabila tidak memiliki bukti seperti tuduhan, sebaliknya memberi bukti kepada SPRM.

"Kita beranggapan Amanah tidak pernah ubah perangai mereka dari dulu sebab suka cakap tanpa asas.

"Jika tak ada bukti, janganlah cakap, mana ada orang buat, orang kena tuduh yang kena tunjuk bukti, sepatutnya yang menuduhlah yang kena kemuka," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, dokumen transaksi dana mencecah jutaan yang betul memerlukan pengesahan daripada beberapa kakitangan bank.

"Tetapi, salinan ditunjukkan tak nampak macam borang betul. Benda tak dak pengesahan dibuat salinan kemudian kata bukti itu menipu rakyat, dan kalau mencecah jutaan, ia perlulah dilaporkan kepada Bank Negara," katanya.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Dr Ismail mendakwa dana itu dibayar pejabat UMNO kepada Pas Terengganu dan Jabatan Pilihanraya Pas Pusat serta penganjuran program parti.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tertanya-tanya sama ada ada orang yang sanggup mengambil wang musuh, kemudiannya mengalahkan musuh itu sendiri di Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas Kedah cabar serah bukti

Usah cabar saya serahkan bukti: Dr Ismail

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pas Kedah mencabar Dr Ismail mengemukakan bukti berhubung dakwaan Exco Agama itu pernah melihat slip transaksi bank membabitkan dana daripada UMNO ke akaun Pas.

Bagaimanapun, Dr Ismail menegaskan tiada keperluan untuk beliau serahkan salinan transaksi bank membabitkan dana daripada UMNO kepada Pas untuk membuktikan beliau bercakap benar kerana semua dokumen terlibat dalam pengetahuan SPRM.