Kaunter sarung tangan, bank bantu Bursa Malaysia meningkat

 Bursa Malaysia mengakhiri minggu urus niaga yang singkat ini lebih tinggi, didorong oleh keuntungan di kaunter perbankan dan sarung tangan getah.
Bursa Malaysia mengakhiri minggu urus niaga yang singkat ini lebih tinggi, didorong oleh keuntungan di kaunter perbankan dan sarung tangan getah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia mengakhiri minggu urus niaga yang singkat ini lebih tinggi, didorong oleh keuntungan di kaunter perbankan dan sarung tangan getah meskipun indeks utamanya memperlihatkan sedikit pergerakan tidak menentu.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pulih kembali daripada kerugian sebelum ini untuk ditutup 4.88 mata lebih tinggi pada 1,582.52 berbanding penutupan pada Selasa iaitu 1,577.64.

Indeks utama yang dibuka lemah 1.35 mata pada 1,576.29 pagi ini, berlegar antara 1,572.99 dan 1,583.13 sepanjang sesi urus niaga.

Pergerakan harga di keseluruhan pasaran berubah kepada positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 582 berbalas 361 manakala 460 kaunter tidak berubah, 788 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Dalam dagangan yang agak tipis menjelang cuti panjang, jumlah dagangan menyusut kepada 2.59 bilion saham bernilai RM1.92 bilion daripada 5.5 bilion saham bernilai RM2.9 bilion pada Selasa.

Sementara itu, pembelian kukuh turut dilihat dalam kalangan saham permodalan kecil yang menyaksikan Indeks FBM SCAP melonjak 159.34 mata kepada 16,634.38.

Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, FBM KLCI ditutup 0.3 peratus lebih rendah menjelang cuti hujung minggu yang panjang yang mana para pelabur lebih cenderung untuk mengurangkan aktiviti urus niaga masing-masing.

Pelabur di Bursa Malaysia juga nampaknya mengetepikan kerisauan berkenaan inflasi yang disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, yang mungkin memaksa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk menaikkan kadar faedahnya.

Artikel Berkaitan:

Kaunter paling untung dalam kalangan kaunter FBM KLCI adalah saham sarung tangan getah iaitu Supermax dan Top Glove yang masing-masing meningkat 3.0 peratus dan 3.3 peratus sejajar dengan kes Covid-19 harian semasa, yang terus meningkat di negara ini dan negara lain seperti India.

"Sektor perbankan turut menyaksikan minat dalam kalangan pelabur, didorong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penguncupan pada suku pertama 2021 sebanyak negatif 0.5 peratus, lebih kecil berbanding negatif 3.4 peratus pada suku sebelumnya.

"Mengambil petunjuk daripada harga komoditi seperti minyak sawit mentah yang terus meningkat berikutan kekurangan bekalan, syarikat perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong dan kumpulan PPB mencatatkan kenaikan melebihi 1.0 peratus pada hari Rabu," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.21, Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.14 sementara Press Metal tidak berubah pada RM5.40.

Bagaimanapun, PetChem turun 12 sen kepada RM8.10, Tenaga menyusut empat sen kepada RM9.87, dan IHH Healthcare kerugian 13 sen kepada RM5.45.

Bagi saham aktif, Focus Dynamics menyusut setengah sen kepada enam sen, Green Ocean dan Permaju masing-masing tidak berubah pada 4.5 sen dan 14.5 sen, Mtouche naik setengah sen kepada 28.5 sen sementara Tanco menambah satu sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 29.78 mata pada 11,563.04, Indeks FBMT 100 meningkat 22.54 mata kepada 11,233.97 dan FBM ACE naik 49.67 mata kepada 7,946.16.

Indeks FBM Emas Syariah susut 4.81 mata kepada 12,930.4 dan FBM 70 turun 16.92 mata untuk 14,975.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 144.44 mata kepada 14,850.54, Indeks Perladangan meningkat 17.47 mata kepada 7,073.78 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.1 mata kepada kepada 197.24.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.54 bilion saham bernilai RM1.65 bilion berbanding 3.33 bilion saham bernilai RM2.40 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran juga berkurangan kepada 189.46 juta unit bernilai RM21.27 juta daripada 336.22 juta unit bernilai RM36.68 juta pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 863.09 juta saham bernilai RM257.38 juta daripada 1.85 bilion saham bernilai RM458.09 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 246.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (461.02 juta), pembinaan (59.83 juta), teknologi (141.33 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.52 juta), hartanah ( 210.79 juta), perladangan (53.28 juta), REIT (1.96 juta), dana tertutup (sifarl), tenaga (93.79 juta), penjagaan kesihatan (75.23 juta), telekomunikasi dan media (37.43 juta), pengangkutan dan logistik (84.94 juta) dan utiliti (13.02 juta).

Bersempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri pada Khamis dan Jumaat, Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada kedua-dua hari berkenaan dan dagangan akan beroperasi semula pada Isnin, 17 Mei. - Bernama