Lori kontena terbalik, jalan sesak di Gua Musang

Sebuah lori kontena yang membawa muatan sarung tangan getah terbalik dan melintang di laluan di Kilometer Tiga Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi Rabu.
Sebuah lori kontena yang membawa muatan sarung tangan getah terbalik dan melintang di laluan di Kilometer Tiga Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi Rabu.
A
A
A

GUA MUSANG- Persiapan penduduk di sekitar bandar ini untuk keluar membeli barangan bagi menyambut Aidilfitri esok, terjejas selepas sebuah lori kontena yang membawa muatan sarung tangan getah terbalik dan melintang di laluan di Kilometer Tiga Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku apabila lori kontena dipandu Mohd Nor Mizan Md Ghani, 32, dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang terbabas sebelum terbalik dan melintang di tengah jalan dalam kejadian 7.15 pagi itu.

"Berikutan kejadian berkenaan, jalan itu terpaksa ditutup untuk memudahkan kerja mengangkat lori terbabit menggunakan kren dan penutupan jalan telah menyebabkan berlaku kesesakan sejauh tiga kilometer.

"Sebagai alternatif, pengguna jalan raya terpaksa menggunakan jalan di dalam kawasan ladang sawit buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori kontena terbabit yang berasal dari Segamat, Johor, mengantuk dan terlelap ketika memandu menyebabkan lori yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota polis sedang mengawal lokasi kejadian bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk kerana orang ramai dalam perjalanan untuk membuat persiapan menyambut 1 Syawal esok," katanya sambil menambah kerja mengalihkan lori kontena itu dijangka selesai petang ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: