Bukan Islam dilarang guna kalimah ALLAH

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah menegaskan larangan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam.

Baginda bertitah bahawa orang bukan Islam sama sekali tidak dibenarkan menggunakan kalimah suci itu kecuali untuk tujuan yang bukan menyekutukan ALLAH.

"Kalimah ALLAH adalah nama khas kepada ALLAH (Tuhan Yang Maha Esa), ALLAH yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. ALLAH menamakan diri-Nya dengan nama ALLAH dan ALLAH ini hanya disembah dengan sebenarnya oleh umat Islam sahaja.

"Orang bukan Islam sama sekali tidak dibenarkan menggunakan kalimah suci ini kecuali untuk tujuan-tujuan yang bukan untuk menyekutukan ALLAH dengan apa-apa juga ciptaan-Nya," titah baginda pada Rabu.

Baginda memuktamadkan saranan tegas ini berpandukan perintah ALLAH dalam surah Taha ayat 14, Seksyen (9) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Kedah Tahun 1988 dan Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang diwartakan pada 21 April 2020.

Titahnya, sebagai Ketua Agama Islam Kedah, semua pihak diingatkan akur dan taat kepada titah baginda demi memelihara kesuciaan kalimah ALLAH dan ketenteraman awam.

Sultan Sallehuddin bertitah, beriman kepada ALLAH yang merupakan rukun iman yang pertama adalah akar akidah bagi umat Islam.

Titah baginda lagi, Islam amat mengutamakan keharmonian dalam kepelbagaian anutan, namun amat tegas dan sama sekali tidak boleh menceroboh sempadan beragama dalam isu akidah atau kepercayaan.

Artikel Berkaitan:

Baginda menyeru seluruh rakyat Kedah agar segera berhenti daripada berbahas dan berdebat apatah lagi mengusik kesucian kalimah ALLAH seperti yang telah dikanunkan mengikut hukum syarak dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri ini.

Sultan Sallehuddin menitahkan, ia demi meneruskan kesinambungan keharhomian sejagat tanpa mengira agama dan bangsa setiap lapisan rakyat Kedah yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

"Perlu diingat, jika isu kalimah Allah ini tidak ditangani dengan penuh berhati-hati di bawah suluhan wahyu dan kedaulatan undang-undang, beta sangat bimbang di penghujung seluruh manusia akan terperangkap dalam pertikaman lidah dan permusuhan yang tiada berkesudahan dan akhirnya boleh menggugat kerukunan hidup serta kestabilan negeri dan negara," titah baginda.