X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih sejuta rakyat berisiko menganggur

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mendedahkan lebih sejuta rakyat di negara ini berisiko menganggur sekiranya penutupan ekonomi dilaksanakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Malah menurutnya, lebih membimbangkan anggaran peningkatan jumlah pengangguran bagi mereka yang terkesan itu tidak tertumpu kepada golongan yang 'makan gaji' semata-mata tetapi membabitkan seramai 2.8 juta mereka yang bekerja sendiri.

"PKP 1.0 telah menyebabkan kerugian RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi dan kadar pengangguran telah melonjak naik sehingga 5.3 peratus atau 826,000 penganggur pada Mei 2020.

"Jika PKP 1.0 dilaksanakan semula sekarang dianggarkan lebih sejuta rakyat Malaysia akan menganggur.

"Lebih membimbangkan pengangguran ini tidak sekata dan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita, serta mereka yang berkemahiran rendah.

"Seramai 2.8 juta rakyat yang merangkumi golongan bekerja sendiri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, usahawan kecil akan lebih terjejas dan mengalami pengurangan pendapatan," katanya pada pada sidang akhbar Kementerian Kewangan Malaysia berhubung PKP 3.0 di sini pada Rabu.

Jelas beliau, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP 3.0 secara bersasar dan membenarkan pembukaan sektor ekonomi bagi mengurangkan kemudaratan golongan rentan kerana melibatkan isu peluang pekerjaan bagi mereka menjana pendapatan.

Bahkan katanya, penutupan sektor ekonomi utama juga akan memberi impak terhadap penjanaan ekonomi berasaskan aktiviti eksport.

"Jika sektor utama seperti pembuatan tidak dibenarkan beroperasi ia akan menyebabkan gangguan kepada kelangsungan rantaian bekalan global dan berpotensi menyebabkan pelanggan antarabangsa yang menghadapi gangguan bekalan dari Malaysia akan beralih kepada negara lain.

"Kehilangan pasaran tersebut tidak mudah untuk dikembalikan dan bakal melambatkan pemulihan ekonomi serta menjejaskan pekerjaan baharu," katanya.

Beliau turut menekankan ekonomi tidak boleh ditutup atau dibuka seperti suis lampu kerana melibatkan banyak pihak.

"Jika lihat di seluruh dunia, tiada negara melaksanakan penutupan ekonomi secara menyeluruh ketika menghadapi peningkatan semula kes Covid-19.

"Kebanyakan negara mengutamakan penyekatan aktiviti sosial atau perhimpunan orang ramai bagi menangani wabak Covid-19 ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!