Henti berbalah, tumpu kepada agenda perjuangan

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai pergolakan yang berlaku dalam AMK Pulau Pinang.
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai pergolakan yang berlaku dalam AMK Pulau Pinang.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Henti berbalah dan kembali bersatu demi memperkasakan agenda anak muda di Pulau Pinang.

Itu nasihat bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali kepada kepimpinan AMK di negeri ini agar tidak terus bergaduh sesama sendiri sehingga menjejaskan kesepakatan dalam organisasi berkenaan.

Bekas Ketua AMK sejak tahun 2010 hingga 2014 itu berkata, sebagai pimpinan muda sudah pasti semangat dan pandangan yang ditonjolkan mereka agak berbeza namun itu bukan alasan untuk mereka berbalah sebaliknya semangat yang ada itu perlu disatukan agar dapat menghasilkan pelbagai idea yang bernas dalam menguatkan gerakan anak muda di negeri ini.

"Perbezaan pendapat itu perkara biasa bagi mana-mana organisasi tambahan bagi anak muda.

"Anak muda ni semangatnya lain macam, tapi harus difokus dan tumpukan kepada agenda perpaduan untuk menguatkan gerakan anak muda di Pulau Pinang,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya, pergaduhan hanya merugikan parti sementelah AMK Pulau Pinang perlu mencari titik penyatuan dan kembali bersatu kerana masih banyak lagi agenda penting yang perlu difikirkan daripada perbezaan pendapat dan kem yang berlaku pada masa ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai pergolakan yang berlaku dalam AMK Pulau Pinang selepas beberapa anggotanya dikatakan menolak pelantikan mereka untuk menjawat beberapa jawatan penting dalam organisasi ini.

Tindakan itu menggambarkan seolah-olah mereka tidak mahu bekerjasama dengan Ketua AMK Pulau Pinang yang baharu dilantik iaitu Fahmi Zainol.

Artikel Berkaitan:

Amir
Amir

Beberapa nama yang dikatakan menolak pelantikan jawatan dalam kepimpinan AMK Pulau Pinang seperti Ketua AMK Kepala Batas, Zainuddin Mohamed yang dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat AMK Negeri, Ketua AMK Bukit Mertajam, Ikhwan Nasser yang dilantik Pengarah Biro Disiplin dan Ketua AMK Tanjung, Ahmad Al Farooqi Haja Mohideen yang dilantik sebagai Pengarah Biro Komunikasi.

Turut menolak pelantikan sebagai Pengarah Pilihanraya, Ketua AMK Bagan, Mohamad Akmal Azhar dan jawatan Ahli Jawatankuasa AMK Negeri, Timbalan Ketua AMK Kepala Batas, Mohd Ikram Rosli.

Mengulas lanjut, Amir berkata, AMK Pulau Pinang perlu kembali kepada agenda perjuangan parti yang memfokuskan perjuangan rakyat dan keprihatinan kepada masyarakat.

"Mereka harus memikirkan perjuangan yang sekian lama dibawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan berbalah sesama sendiri atas kepentingan tertentu.

"Konflik yang timbul adalah perkara kecil, tinggalkan perbezaan pendapat jika nak dibandingkan perjuangan Anwar yang memikirkan agenda lebih besar kepada PKR dan negara," katanya.

Tambahnya, AMK Pulau Pinang harus menjadi contoh dan tauladan yang baik kerana perjuangan awal PKR bermula di negeri itu.

"Saya harap mereka boleh selesaikan segala isu berbangkit dan kembali bersatu menjadi sebuah organisasi yang kuat," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi yang dihubungi berkata, perbalahan antara kem masih wujud menyebabkan perkara ini berlaku.

Beliau menafikan ramai yang tidak bersetuju dan menolak pelantikan dalam jawatankuasa AMK negeri dan daripada senarai yang ada hanya tiga nama sahaja sebelum ini yang menolak pelantikan berkenaan.

"Kritikan secara terbuka selalu wujud. Masih ramai yang berminat menyertai AMK Pulau Pinang dan kami akan terus bekerja," katanya.