Johor benarkan solat sunat Aidilfitri bersyarat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor membenarkan solat sunat Aidilitri diadakan di seluruh negeri ini dengan kapasiti satu pertiga ruang solat masjid dan surau serta mematuhi penjarakkan fizikal satu meter.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketetapan itu tidak berubah selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pekeliling yang dikeluarkan pada Khamis.

"Kita tahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan bahawa peraturan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara membenarkan hanya 20 dan 50 jemaah hadir ke surau dan masjid bagi mendirikan solat sunat Aidilitri.

"Bagaimanapun, kita di Johor masih kekal gunakan kebenaran yang dikeluarkan dalam pekeliling sebelum ini iaitu pelaksanaan solat sunat Aidilitri tidak melebihi satu pertiga kapasiti ruang solat masjid dan surau serta mematuhi penjarakkan fizikal satu meter," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Tosrin berkata, bagi surau dan masjid yang boleh memuatkan kurang daripada1,000 jemaah, hanya 20 jemaah dibenarkan hadir termasuk bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

Mengulas lanjut, Tosrin memberitahu, bagi daerah yang berada di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh Johor, kegiatan menziarahi tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan.

Katanya, kebenaran tersebut berkuat kuasa Jumaat lalu sehingga ada ketetapan lain yang ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setelah mendapat pandangan dan nasihat MKN serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Keputusan ini adalah berdasarkan hujah firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah yang bererti 'Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.'

Artikel Berkaitan:

"Ia juga berpandukan kaedah fiqh yang bermaksud apa-apa perintah syarak yang tidak boleh dilakukan kesemuanya maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya.

"Bagi mana-mana masjid atau surau yang dikesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa atau jemaahnya hendaklah ditutup serta-merta mengikut tempoh yang ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah," tegasnya.