'Biar dimarah, tapi kami terpaksa'

Abd Rahim (tengah) pada sidang media khas di Senai, Kulai pada Rabu.
Abd Rahim (tengah) pada sidang media khas di Senai, Kulai pada Rabu.
A
A
A

KULAI - Polis terpaksa mengetatkan pemeriksaan sekatan jalan raya terutamanya di sempadan negeri menjelang hari raya kerana banyak taktik digunakan orang ramai untuk pulang beraya di kampung.

Mengakui tindakan itu akan mengundang marah orang ramai, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar bagaimanapun berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu ada yang terlepas.

"Kita memahami sentimen orang ramai yang terpaksa berbaris atau tersekat lebih dua hingga tiga jam dalam sekatan jalan raya, namun kita ingin menegaskan tindakan itu perlu dibuat demi memastikan arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dapat dilaksanakan.

"Kita tak mahu ada yang terlepas dengan menipu di sekatan jalan raya sebab pelbagai taktik yang digunakan orang ramai, termasuk surat-surat yang diberikan kepada kita.

"Orang ramai cuba sedaya upaya dengan apa jua taktik, sebab itu sekatan jalan raya jadi sesak. Di Bentong misalnya, kesesakan hampir empat ke lima kilometer melibatkan kenderaan berbaris.

"Tapi, itu tugas dan tanggungjawab kita sebagai polis. Apabila tanggungjawab diberi, kita kena laksanakan dengan baik," katanya ketika ditemui pada sidang media khas di Senai, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Kasuahdi Ali dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhamad Abdul Halim.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, kebanyakan sekatan jalan raya yang dibuat mempunyai beberapa lorong termasuk satu lorong khas untuk lori yang terlibat dengan aktiviti ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pemeriksaan hanya melibatkan kenderaan lain yang tidak terlibat dengan aktiviti ekonomi.

"Kita terpaksa periksa satu-satu. Ya, kita tahu orang marah tapi dalam keputusan yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelaksanaannya perlu dibuat oleh polis," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis telah mengeluarkan lebih 100,000 kompaun sejak Ops Covid-19 dilaksanakan di seluruh negara.

Kompaun itu melibatlan pelbagai kesalahan, termasuk tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan salah guna surat majikan.

"Kompaun yang paling tinggi setakat ini ialah RM50,000. Kita utamakan pub dan kelab malam yang beroperasi tanpa kebenaran, itu kita akan ambil tindakan tegas.

"Sepanjang itu juga, kita akui ada kesilapan berlaku apabila pegawai kita isukan kompaun dan sebagainya. Kita sudah keluarkan lebih 100,000 kompaun tapi kesilapan boleh berlaku. Kalau kita tidak boleh terima sebagai manusia, tidak boleh lah.

"Kita manusia, polis juga manusia. Ada juga kesilapan yang berlaku, kita akui tetapi perkara itu boleh diatasi sebab kita ada MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM). Kita boleh rujuk pada mereka kalau kesalahan tidak ada, maka ia boleh dibatalkan," katanya.