Sindiket seludup arak tumpas babit rampasan RM9.56 juta

Ayob Khan (kiri) dan Abd Rahim (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang dirampas.
Ayob Khan (kiri) dan Abd Rahim (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang dirampas.
A
A
A

KULAI - [DIKEMAS KINI] Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras yang dipercayai untuk pasaran negeri ini selepas menangkap dua individu dan merampas pelbagai jenis arak serta barangan bernilai RM9.56 juta pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, dua individu yang ditahan itu adalah seorang lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar berusia 25 dan 35 tahun.

Menurutnya, serbuan sempena Op Kontraban itu dibuat pada jam 6.10 pagi di sebuah premis di Taman Desa Idaman, Senai di sini melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

"Dalam serbuan itu, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.

"Hasil dari tangkapan itu, kita telah berjaya merampas 93 tong drum berisi 18,600 liter arak tiruan, 17 gallon mengandungi 340 liter pati campuran arak dan 5,419 botol atau 4,138.84 liter arak yang dipercayai tidak mempunyai cukai kastam.

"Selain itu, kita turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace, lima water pump, beberapa gulung stiker kastam dipercayai palsu dan dua 'bench drilling' yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan minuman keras, dengan nilai rampasan keseluruhan RM9.56 juta," katanya pada sidang akhbar khas di Senai di sini pada Rabu.

Abd Rahim (kiri) dan Ayob Khan (kanan) pada sidang akhbar khas rampasan minuman keras di Senai, Johor Bahru.
Abd Rahim (kiri) dan Ayob Khan (kanan) pada sidang akhbar khas rampasan minuman keras di Senai, Johor Bahru.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Kasuahdi Ali dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhamad Abdul Halim.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahim berkata, kes tersebut akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai dan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Sementara itu katanya, bermula 1 Januari hingga 10 Mei lalu, Briged Tengah PGA berjaya melancarkan 52 serbuan melibatkan Op Kontraban di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dalam serbuan yang dijalankan, pasukan operasi telah berjaya melakukan 118 tangkapan, melibatkan individu berusia 23 hingga 64 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan melibatkan barang-barang kontraban.

"Antara barang-barang yang dirampas melibatkan rokok, minuman keras (liquor bir), dadah, mercun, beras dan kenderaan dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM27.05 juta.

"Polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

"Pada masa yang sama, kita mengharapkan agar orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menghulurkan segala jenis maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan yang berlaku, bagi memastikan negara tidak diceroboh oleh mana-mana elemen aktiviti penyeludupan," katanya.