DPVM gesa kerajaan perkenal segera peraturan untuk vape

Kerajaan perlu memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia industri vape dengan segera. (Gambar kecil: Ashraf Rozali)
Kerajaan perlu memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia industri vape dengan segera. (Gambar kecil: Ashraf Rozali)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menegaskan bahawa kerajaan perlu memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia industri vape dengan segera, bukan sahaja untuk meraih manfaat ekonomi, tetapi juga untuk membuka laluan bagi membantu perokok berhenti merokok dengan vape.

Gesaan tersebut dibuat berikutan inisiatif dalam talian anjuran badan industri tersebut, yang memaparkan kisah-kisah rakyat Malaysia yang telah berhenti merokok rokok tembakau dengan bantuan vape.

Ketua Penerangan DPVM, Ashraf Rozali berkata, satu peraturan perlu diperkenalkan dengan segera kerana ada bukti bahawa hakikatnya banyak perokok di Malaysia menggunakan vape untuk berhenti daripada merokok.

"Inisiatif perkongsian ilmu kami baru-baru ini, yang menarik minat pengguna vape tempatan, menunjukkan penggunaan vape berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Keputusan daripada inisiatif itu adalah sejajar dengan kajian global ke atas vape yang membuktikan vape adalah kurang mudarat berbanding rokok dan berkesan dalam membantu perokok untuk berhenti merokok.

Penilaian semula yang dikemas kini oleh Public Health of England, badan kesihatan awam utama UK, mendapati bahawa produk vape nikotin adalah 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok dan penggunaan vape ialah kaedah bantuan berhenti merokok yang paling popular di England pada 2020 – digunakan oleh 27.2 peratus orang, berbanding 15.5 peratus yang menggunakan terapi penggantian nikotin tanpa preskripsi dan 4.4 peratus yang menggunakan varenicline (ubat preksripsi untuk merawat ketagihan nikotin).

“Di samping itu, kerajaan New Zealand baru-baru ini melancarkan kempen 'Vape to QuitStrong' (vape untuk berhenti) pada bulan Mac untuk mengurangkan bahaya yang disebabkan oleh rokok tembakau dan selaras dengan kenyataan pendirian Kementerian Kesihatan New Zealand tentang penggunaan vape,” katanya.

Kementerian Kesihatan New Zealand telah menyatakan matlamat mengurangkan mudarat besar yang timbul daripada penggunaan rokok tembakau dan kempen itu disokong serta sejajar dengan pendiriannya tentang penggunaan vape dan peranannya dalam usaha mencapai sasaran 'Smokefree 2025' (bebas rokok 2025).

Artikel Berkaitan:

“Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menerima bukti semakin kukuh yang menunjukkan bahawa vape ialah cara yang berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok dan mengurangkan risiko kesihatan dengan ketara," katanya.

Ashraf berkata, mengurangkan kadar merokok ialah isu kesihatan awam penting dan kerajaan perlu mengambil kira peranan yang boleh dimainkan oleh vape untuk mencapai matlamat ini, sebagaimana kerajaan UK dan New Zealand telah menggunakan vape sebagai strategi untuk mengurangkan kemudaratan tembakau.

Sebelum ini, DPVM juga menerbitkan satu kajian yang melaporkan industri vape di Malaysia bernilai RM2.27 bilion dan mempunyai ekosistem yang meliputi 3,300 pengeluar, pengimport dan peruncit, serta rangkaian pengedaran dan logistik yang semakin berkembang.

“Kita tahu bahawa industri ini kini semakin berkembang. Dengan pelaksanaan peraturan komprehensif yang sewajarnya, pakar-pakar ekonomi tempatan meramalkan bahawa nilai pasaran vape akan meningkat kepada RM10 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan peraturan akan membolehkan lebih banyak perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape,” katanya.

Mengulas kes tindakan sepasang suami isteri yang telah memberikan anak mereka dipercayai berusia dua tahun menggunakan vape baru-baru ini, beliau berkata, tindakan tersebut tidak bertanggungjawab dan peraturan diperlukan untuk membendung insiden seperti itu berlaku.

“Peraturan berkenaan penggunaan vape mesti diperkenalkan supaya dapat membendung perkara seperti ini berlaku. Pendidikan juga diperlukan supaya pengguna tidak menyalahgunakan produk tersebut dengan membenarkan produk tersebut digunakan oleh mereka yang di bawah umur,” katanya.