Wabak rabies jangkau 69 kawasan di Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Dua lagi kawasan baharu wabak rabies diisytiharkan di Sarawak menjadikan keseluruhannya 69 kawasan wabak penyakit itu di negeri ini sejak Julai 2017.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengisytiharkan kawasan baharu itu adalah Pedaan di daerah Telang Usan, Miri dan Pekan Tatau, Bintulu.

“Pengisytiharan ini adalah berikutan kes positif ujian makmal ke atas dua anjing liar yang ditangkap semasa survelan aktif di kawasan berkenaan (yang) berada di luar 10 kilometer radius kawasan yang telah diisytiharkan (sebelum ini),” menurut kenyataan itu.

Berikutan pengisytiharan itu, jumlah kawasan wabak rabies mengikut bahagian di Sarawak setakat ini sejak Julai 2017 adalah 22 di Serian, masing-masing tujuh di Kuching dan Miri, Sri Aman dan Mukah (enam), Sarikei dan Bintulu (lima), Samarahan (empat), Betong (tiga), Sibu (dua) dan Kapit dan Limbang (satu).

JPVS menasihatkan pemilik anjing atau kucing untuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksinasi setiap tahun dan diwajibkan melaporkan segera kepada JPVS jika haiwan berkenaan menunjukkan tanda-tanda dijangkiti rabies dengan menghubungi talian 082-628248 /082-610023 atau 016-2557267.

Tanda-tanda penyakit rabies pada haiwan adalah seperti perubahan sikap, agresif, menggigit dan mulut berbuih, sensitif terhadap sentuhan, air, cahaya dan suara, hilang selera makan atau minum, lesu, lumpuh dan akhirnya mati. - Bernama

Artikel Berkaitan: