Guru didakwa keluarkan kata-kata tidak wajar dipindah ke JPNS

KPM
KPM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Selangor yang didakwa mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar kepada seorang murid semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) telah ditempatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum laporan polis oleh murid terbabit mengenai perkara tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis.

"KPM telah menempatkan guru berkenaan di JPNS sehingga siasatan tersebut selesai.

"Tindakan KPM seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini," kata kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai surat pemberitahuan ketidakhadiran ke sekolah yang diterima murid berkenaan, kenyataan itu berkata, pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Menurut kenyataan itu, sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, atau guru, sistem ini akan mengeluarkan surat pemberitahuan ketidakhadiran ke sekolah iaitu amaran pertama.

"Surat tersebut kemudiannya akan diposkan kepada ibu bapa atau penjaga murid terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Secara umumnya, surat pemberitahuan ini dikeluarkan bagi memastikan ibu bapa atau penjaga dan pihak sekolah mengetahui akan kehadiran dan keberadaan murid semasa sesi persekolahan.

"Selain itu, tindakan ini juga membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan sewajarnya," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, bagi tempoh 16 hingga 30 April 2021, sekolah berkenaan telah mengeluarkan enam pucuk surat pemberitahuan ketidakhadiran ke sekolah: amaran pertama kepada ibu bapa atau penjaga yang anak/anak jagaan tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.

"KPM ingin menekankan bahawa Kementerian sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan murid serta seluruh warga sekolah.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," kata kenyataan itu.