X

Kindly register in order to view this article
!

Seni, budaya main peranan penting sumbang keamanan dunia

Muhammad Nasir
A
A

KUALA LUMPUR - Seni dan budaya turut berperanan penting menyumbang kepada keamanan dunia, kata ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Beliau berkata, selain menjadi sebahagian kehidupan harian manusia, seni dan budaya juga berperanan sebagai ejen perdamaian dan perpaduan serta menggalakkan keamanan melalui seni dan budaya jauh lebih mudah berbanding rundingan memandangkan ia sangat dekat dengan jiwa masyarakat.

“Kita memerlukan seni untuk berkomunikasi, makan, berniaga, menjaga orang, mencintai dan hampir semua memerlukan seni dan budaya. Kita tidak perlu menjadi orang Perancis untuk memahami budaya Perancis, kita tidak perlu menjadi orang Itali untuk memahami seni dan budaya Itali, kita tidak perlu menjadi orang Mesir untuk memahami peradaban Mesir sejak ribuan tahun Sebelum Masihi (SM).

"Ahli arkeologi terus mencari seni, budaya dan warisan daripada penduduk zaman purba. Daripada lukisan mereka, artifak seni dan budaya,” katanya dalam syarahannya bertajuk ‘The Role of Arts and Culture in Contributing to Peace in the Asia-Pacific Rim' pada Persidangan Kepimpinan Antarabangsa 2021 yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Muhammad Nasir merangkap Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, seni dan budaya juga tidak mempunyai sempadan.

Menjadikan Malaysia sebagai contoh, beliau berkata, rakyat dapat menonton dan menikmati filem Hindi, Inggeris atau Korea tanpa memahami walau sepatah pun.

"Sekarang, orang yang tidak bercakap sepatah pun bahasa Korea tidak dapat dipisahkan dengan drama Korea. Mereka boleh berjaga selama berjam-jam lamanya malah berhari-hari tanpa bercakap atau memahami perkataan Korea,” katanya.

Selain semua filem berbahasa Inggeris yang popular katanya, drama atau filem Hindi dan Korea kini menawan dunia bahkan sudah memenangi anugerah Oscar, Emmy dan Grammy, sementara filem Cina sejak dulu lagi berjaya menguasai pasaran filem melalui aksi lakonan Bruce Lee dan Jackie Chan.

Beliau berkata, Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum dan agama, seni dan budaya juga memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat.

“Kita raikan festival budaya bersama sebagai satu bangsa. Melalui usaha ini negara kita diakui sebagai sebuah negara dengan imej Malaysia truly Asia,” katanya.

Di samping itu, peranan seni dan budaya sebagai agen keamanan dan perpaduan turut menarik minat penyelidik. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!