Polis Johor terima 25,222 permohonan rentas daerah, negeri

Ayob Khan memasuki Pasar Awam Larkin, Johor Bahru pada Rabu semasa meninjau pematuhan SOP.
Ayob Khan memasuki Pasar Awam Larkin, Johor Bahru pada Rabu semasa meninjau pematuhan SOP.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menerima 25,222 permohonan merentas negeri dan daerah di seluruh negeri ini bagi tempoh 5 Mei hingga Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 24,693 permohonan diluluskan, manakala 529 permohonan ditolak.

"Jumlah permohonan merentas daerah dan negeri itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding tempoh seminggu yang lalu.

"Pada minggu lalu antara 28 April hingga 4 Mei, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 15,200 permohonan dan 202 daripadanya ditolak.

"Daripada tempoh ini, terdapat peningkatan permohonan rentas negeri daerah mengikut perbandingan minggu terdahulu dengan minggu semasa iaitu bertambah 10,022 permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Larkin di sini pada Rabu.

Menurutnya, jumlah permohonan yang ditolak menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus dan banyak yang ditolak kerana tidak mempunyai alasan yang kukuh.

"Polis Johor akan memperketatkan lagi permohonan rentas negeri dan daerah mengikut syarat yang telah digariskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan berkata, pihaknya akan menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR) kepada 50 tempat berbanding 35 sebelum ini.

"SJR itu melibatkan 12 di kawasan lebuh raya, sempadan negeri (13), Jalan Persekutuan (17) dan lapan Op Benteng.

"Selain itu, kita juga mempunyai sebanyak 260 pasukan pemantauan dan 170 unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang akan sentiasa membuat operasi pematuhan.

"Jadi, saya nak ingatkan kepada semua warga Johor agar sentiasa mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baharu diperkenalkan," katanya.