Maritim tahan kapal berlabuh tanpa kebenaran

Kapal Tug BotStar Sumatra yang ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran.
Kapal Tug BotStar Sumatra yang ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Maritim Kemaman menahan sebuah kapal yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Dungun semalam.

Kapal Tug BotStar Sumatra yang berlabuh pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika selatan muara Kuala Dungun ditahan jam 12.15 tengah hari oleh Kapal Ronda Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pemeriksaan mendapati kapal yang berdaftar di Tuvalu itu membawa bersama Barge Olympic Kandilo iaitu tempat letak barang berlabuh sejak kelmarin.

"Kita juga turut menemui sembilan kru berusia antara 21 hingga 36 tahun iaitu dua kru warganegara Malaysia manakala tujuh kru lagi warganegara Indonesia.

"Siasatan awal mendapati kapal berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan ke Dungun dan ketika pemeriksaan dijalankan, mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam siaran media yang dikeluarkan hari ini.

Rashidilhadi berkata, tiga kru kapal dibawa ke pejabat Zon Maritim Kemaman untuk siasatan selanjutnya.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 49 1 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: