190 pasukan pantau pematuhan SOP di perumahan, kampung

Roslee Chik
Roslee Chik
A
A
A

KEMAMAN - Polis Terengganu mengaktifkan 190 pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menjalankan rondaan di setiap kawasan perumahan dan kampung bagi memastikan masyarakat mematuhi arahan sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pasukan dengan kekuatan hampir 800 pegawai dan anggota itu tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun terutama kepada tuan rumah sekiranya terdapat pelanggaran SOP sambutan Aidilfitri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula hari ini hingga 7 Jun.

“Pada hari raya ini kalau kita dapati satu rumah itu ada khemah, buat majlis besar, ada kenderaan banyak memang akan kena kompaun terutama tuan rumah.

“Melalui rondaan itu juga kita akan kenakan tindakan sekiranya terdapat mana-mana inidividu yang balik (ke Terengganu) dari negeri-negeri lain tanpa surat kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekatan Jalan (SJR) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Perasing, di sini pada Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan antara larangan dan arahan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh PKP termasuk tiada ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya, esok.

Sementara itu, Roslee berkata, setakat ini sebanyak 17 kompaun masing-masing bernilai RM5,000 telah dikeluarkan kepada individu merentas negeri tanpa surat kebenaran yang sah.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 11 kompaun dikeluarkan di daerah Kemaman, manakala selebihnya di Besut.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis telah mengetatkan lagi kawalan di 30 lokasi lorong tikus di Besut dan tujuh di Kemaman yang digunakan segelintir penduduk untuk merentasi daerah dan sempadan negeri.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai tindakan individu tidak bertangungjawab membakar sekatan laluan lorong tikus di Besut, Roslee berkata, perkara itu sedang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan pihaknya telah mempunyai petunjuk untuk mengenal pasti mereka yang terlibat.

Dilaporkan akibat terlalu marah apabila laluan tikus ditutup segelintir penduduk bertindak membakar penghadang dan kawat duri yang telah didirikan oleh pihak polis.

Kejadian itu dikesan berlaku di Kampung Gong Lapang, Besut kira-kira 9.30 pagi, Ahad lepas (9 Mei). - Bernama