X

Kindly register in order to view this article
!

Jabatan Amal sumbang 30 barang rehabilitasi

Jabatan Amal menyerahkan kerusi roda kepada salah seorang penerima sempena Sambutan 3 Dekad Jabatan Amal Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Amal Malaysia (Jabatan Amal) menyerahkan 30 barang rehabilitasi kepada pesakit yang memerlukan sempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-30 pada tahun ini.

Ketua Pegawai Tadbir Jabatan Amal, Khairil Anuar Ismail, jumlah keseluruhan nilai barang rehabilitasi berkenaan ialah RM50,000 yang merupakan sumbangan dalam bentuk wakaf yang diterima daripada orang ramai, tabung kebajikan Jabatan Amal dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Barang rehabilitasi itu terdiri daripada 21 kerusi roda, sembilan katil dan tilam hospital dan barang-barang lain seperti alat bantuan pernafasan, tongkat, bantuan perubatan serta keperluan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Norazman Ishak berkata, sambutan ulang tahun Jabatan Amal pada tahun ini diraikan dengan pendekatan yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Sepatutnya Jabatan Amal menyambut ulang tahun yang ke-30 pada 16 Februari 2021. Namun, sambutan itu tidak diadakan berikutan negara masih dalam keadaan darurat dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri pada ketika itu,” katanya.

Kerusi roda diserahkan kepada salah seorang penerima sempena Sambutan 3 Dekad Jabatan Amal Malaysia.
Kerusi roda diserahkan kepada salah seorang penerima sempena Sambutan 3 Dekad Jabatan Amal Malaysia.

Norazman berkata, Jabatan Amal meraikannya dengan mempelbagaikan program kebajikan sepanjang tahun ini dan jawatankuasa telah dibentuk yang diketuai oleh Khairil Anuar.

“Salah satu program yang telah dirancang oleh jawatankuasa program Sambutan 3 Dekad Jabatan Amal Malaysia adalah penyampaian sumbangan barangan rehabilitasi kepada mereka yang memerlukan dalam bentuk infaq dan wakaf,” katanya.

Norazman yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang bersama Ketua Pemuda Pas Kawasan Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan sempat menyampaikan sebuah katil hospital dan tilam kepada adik Muhammad Jazli Abdul Rahim yang mengalami kecacatan otak di Kampung Mengkuang Titi, Pulau Pinang.

“Inisiatif ini adalah usaha berterusan oleh Jabatan Amal seluruh negara sebagai salah satu gerak kerja kebajikan yang mereka usahakan selama 30 tahun ini.

“Selain program ini, bantuan makanan kit barangan dapur juga dibuat sepanjang Ramadan dengan sasaran sumbangan RM100,000 kepada 1,000 keluarga asnaf dari seluruh negara,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!