Pesawah di Kedah mula tanam padi

Dari kanan: Ismail, Shahrul Anuar dan Norzan menunjukkan benih padi MR297 yang dibekalkan oleh PPK I-II MADA Kuala Sungai, Alor Setar.
Dari kanan: Ismail, Shahrul Anuar dan Norzan menunjukkan benih padi MR297 yang dibekalkan oleh PPK I-II MADA Kuala Sungai, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR- Pesawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri Kedah telah memulakan kerja-kerja penanaman padi pada minggu lalu.

Seorang pesawah dari Kampung Sungai Baru, Kuala Sungai, Ismail Mohd Noor, 62, berkata, dia telah memulakan kerja-kerja menabur benih padi sejak seminggu lalu, setelah menerima bekalan benih jenis MR297.“Saya bersyukur kerana setiap kali tiba musim penanaman padi, saya ialah antara pesawah yang tidak pernah alami kelewatan benih padi.

ISMAIL
ISMAIL

“Oleh itu, segala kerja-kerja sawah saya seluas 200 relung (57.55 hektar) berjalan lancar,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut Ismail, dia menerima bekalan benih padi kira-kira dua minggu lalu dan sudah menggunakan 20 beg benih padi untuk kerja-kerja menabur di sawahnya.

“Saya harap musim-musim akan datang pun semua pesawah terutama di bawah MADA tidak akan alami kelewatan benih padi,” katanya yang sudah mengerjakan sawah lebih 40 tahun.Sementara itu, seorang pesawah dari Kampung Hilir Kubang Rotan, Norzan Abdullah, 42, berkata, dia turut bersyukur kerana telah menerima bekalan benih padi MR297 pada minggu lalu dan kini dalam proses penyediaan tapak.

NORZAN
NORZAN

“Alhamdulillah, mungkin sebab saya daftar (benih padi) awal, jadi dapat awal. Saya mengerjakan 65 relung (18.70 hektar) sawah padi dan mengikut kadar penggunaan benih yang diterima adalah 130 beg.

“Saya dah mula kerja-kerja menyediakan tapak beberapa hari lalu, Insya-ALLAH selepas Hari Raya Aidilfitri saya boleh mula menabur benih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pesawah, Shahrul Anuar Haron, 52, walaupun berlaku kelewatan pengedaran benih padi pada musim ini, namun ia agak terkawal berbanding musim-musim lepas.

SHAHRUL ANUAR
SHAHRUL ANUAR

“Sekarang ini di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) I-II MADA Kuala Sungai pun ada ramai pesawah datang ambil benih padi jenis MR297. Benih ini memang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pesawah.

“Saya sendiri juga membuat tempahan untuk benih padi jenis ini dan sudah pun menerima bekalan. Saya berharap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan syarikat pengeluar dapat meningkatkan bekalan benih padi jenis ini supaya dapat menampung permintaan para pesawah,” katanya yang merupakan Ketua Unit O2 Kampung Sungai Baru Tengah.

Sementara itu, NAFAS dalam kenyataan sebelum ini menegaskan akan mengambil pelbagai inisiatif yang wajar dalam memastikan isu bekalan benih padi dapat diselesaikan dengan cara terbaik untuk kebaikan pesawah.

Menurut NAFAS, rekod terkini mencatatkan sebanyak 595,035 beg pesanan benih padi varieti MR297 diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 321,689 beg telah diedarkan.

“NAFAS telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadi pemborong tunggal dan seterusnya mengedarkan bekalan benih padi sah yang dibekalkan oleh 10 syarikat pembekal yang dilantik.

“NAFAS juga telah berbincang dengan kesemua syarikat pengeluar yang dilantik untuk memastikan benih dibekalkan adalah terjamin berkualiti dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian.

“Bagaimanapun petani mempunyai hak untuk memulangkan semula benih padi yang diragui kualitinya serta menjadi tanggungjawab syarikat pengeluar untuk menggantikan benih tersebut dengan benih yang baharu,” kata NAFAS.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian dalam kenyataannya turut memberi jaminan akan sentiasa memastikan benih padi yang disahkan mengikut kualiti piawaian yang ditetapkan bagi menjamin pesawah mendapat bekalan benih padi yang berkualiti.

Rosli Awang Ahmad (kanan) mengambil bekalan benih padi MR297 di stor benih PPK I-II MADA Kuala Sungai, Alor Setar.
Rosli Awang Ahmad (kanan) mengambil bekalan benih padi MR297 di stor benih PPK I-II MADA Kuala Sungai, Alor Setar.

Jabatan Pertanian berkata, sehingga 19 April 2021, sebanyak 26,353.32 tan benih padi telah disahkan oleh jabatan itu dan kuantiti ini adalah mencukupi bagi keperluan pesawah seluruh negara sehingga akhir bulan April termasuk pesawah di Kedah dan Perlis.

“Pada musim ini, didapati permintaan varieti MR297 adalah tinggi dan itu menyebabkan varieti tersebut tidak mencukupi.

Namun begitu, terdapat varieti lain yang setanding varieti MR297.

“Oleh itu, Jabatan Pertanian telah meluluskan sebanyak sembilan lagi varieti benih padi lain iaitu MR219, MR220 CL2, UKMRC-2, UKMRC-8, MR269, MR303, MR307, MRQ76 dan MR263,” katanya.