X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

'Ada baki barang bernilai RM100,000 belum terjual'

Sabri mengemas barang-barang yang tidak terjual selepas arahan penutupan bazar Aidilfitri diumumkan kerajaan mulai Isnin.
A
A

IPOH - Arahan penutupan lebih awal bazar Aidilfitri di seluruh negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begitu memberi kesan kepada peniaga.

Bagi Sabri Samsuddin, 35, sejak lapan tahun berniaga di bazar-bazar Aidilfitri, tahun 2021 merupakan paling teruk dalam sejarah apabila barang-barang bernilai kira-kira RM100,000 tidak dapat dijual menjelang beberapa hari sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, jumlah itu termasuklah stok baharu bernilai RM35,000 yang ditambah menjelang hari-hari terakhir Ramadan untuk orang ramai membeli keperluan hari raya.

"Berdasarkan pengalaman kita, memang stok akan ditambah sebab orang suka beli di saat-saat akhir tetapi bila diumumkan PKP dan penutupan bazar Aidilfitri memang kami rugi besar. Sewa tapak belum bayar tak termasuk gaji pekerja malah meniaga pun belum balik modal.

"Kita jangkakan kuasa beli akan meningkat sebab pekerja swasta ada yang baru dapat gaji. Nak buat keputusan pun fikirlah semua sudut dan umumkan lebih awal supaya kita boleh sedia tak ambil banyak stok barang-barang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Tapak Bazar Aidilfitri Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Isnin.

Menurutnya, jumlah jualan sangat perlahan ketika pandemik ditambah pula kadar sewa yang mahal sekali gus memberi tekanan kepada peniaga.

Jelas Sabri, kerajaan perlu memikirkan bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada peniaga kerana mereka sangat terkesan dengan tindakan penutupan bazar berkenaan.

Sementara itu bagi peniaga bazar Ramadan pula, pengumuman PKP dan penutupan operasi perniagaan turut memberikan kesan kepada mereka.

Seorang peniaga bazar Ramadan, Muszafis Mustaffa, 34, berkata, kerugian dialami melebihi RM1,000 apabila barangan mentah yang dibeli awal tidak boleh digunakan lagi selepas pengumuman penutupan bazar Ramadan mulai Isnin.

Katanya, kebanyakan barangan mentah cepat rosak seperti kerang, sayur, mi, kuetiau dan sebagainya.

"Barang-barang ini saya cuba simpan dalam peti sejuk tapi kalau terlalu lama simpan pun akan rosak juga. Memang tak boleh nak buat apa dah. Nak bagi kawan-kawan pun mereka juga tak boleh meniaga.

"Inilah nasib kami peniaga kecil. Jualan pun tak seberapa, duit modal pun belum dapat lagi, tiba-tiba dah kena tutup," katanya yang meniaga di Taman Perpaduan, Hulu Kinta, di sini.

Pada 8 Mei, kerajaan memutuskan penutupan semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan PKP bermula Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan, Aidilfitri PKP ditutup mulai Isnin ini


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!