Kebakaran Ittifaqiyah dikategori Bencana Ramai Mangsa

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang meragut nyawa 23 penghuninya.
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang meragut nyawa 23 penghuninya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tragedi kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang meragut nyawa 23 penghuninya, termasuk dua guru, dua tahun lalu dikategorikan sebagai Bencana Ramai Mangsa, menurut seorang pakar perubatan forensik.

Pakar Perubatan Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siti Wira Md Yaro berkata ia berikutan terdapat ramai mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.

Saksi pendakwaan ke-53 itu berkata dalam pengurusan Bencana Ramai Mangsa, proses penting yang perlu dijalankan adalah Identifikasi Mangsa Bencana (DVI), yang merupakan satu proses untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti mangsa yang terlibat dalam sesuatu bencana.

“Dalam proses DVI, ia melibatkan empat fasa iaitu fasa tempat kejadian, fasa ‘post-mortem’, fasa antemortem dan fasa rekonsiliasi,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, di sini, hari ini.

Dr Siti Wira berkata dalam proses itu beliau telah mengambil 18 spesimen darah daripada 18 waris mangsa yang terlibat antara 11 pagi dan 8.35 malam, 14 September 2017, iaitu pada hari kejadian.

Katanya beliau bersama dua Pegawai Perubatan Forensik HKL iaitu Dr Nurhidayah Mohd Yatim dan Dr Ahmad Dzulkefly ditugaskan untuk melakukan fasa antemortem dan mereka telah menemui semua waris mangsa yang terlibat bagi mendapatkan maklumat mengenai mangsa ketika mereka masih hidup.

“Kami menemui waris untuk mendapatkan ciri-ciri fizikal mangsa, barangan peribadi, sebarang kecacatan serta rekod perubatan atau rekod pergigian mangsa terlibat,” katanya.

Dr Nurhidayah, saksi pendakwaan ke-54 pula memberitahu beliau telah mengambil satu spesimen darah waris manakala Dr Ahmad, saksi pendakwaan ke-55, mengambil 17 spesimen darah waris.

Artikel Berkaitan:

Turut dibawa pada prosiding hari ini ialah spesimen darah waris mangsa yang telah diambil dan ketiga-tiga pegawai forensik itu membuat pengecaman.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pada prosiding hari ini kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar. Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok.- Bernama