X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Rakyat Malaysia sakan 'shopping online'

Trend pembelian online semakin meningkat kerana faktor raya dalam PKP.
A
A

SHAH ALAM - Daripada baju raya, produk kecantikan kulit sehinggalah kertas dinding, trend beli-belah online dalam kalangan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan menjelang musim perayaan tahun ini walaupun negara masih dihimpit pandemik Covid-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hampir seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, beliau menjangkakan rekod pembelian online tahun 2021 boleh mengatasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada tahun lalu.

Katanya, sejak Januari sehingga Mac, trend peningkatan pembelian online sudah mula ketara dengan peningkatan antara 18 peratus hingga 28 peratus berbanding Januari hingga Mac tahun lalu.

"Kalau pada tahun lalu, indeks prestasi jualan online Januari ialah 154.6 mata, Februari 160.1 mata dan Mac 165.7 mata, bagaimanapun pada tahun ini trend pembelian online terus menjadi gaya hidup rakyat Malaysia apabila ia naik Januari 199 mata, Februari 197.1 mata dan Mac 195.9 mata.

"Kalau lihat perbandingan trend jualan antara bulan setiap tahun, ia menunjukkan trend peningkatan.

"Pada bulan April dan Mei, ia dijangkakan semakin meningkat disebabkan beberapa faktor. Pertama, kerana permintaan perbelanjaan untuk perayaan hari raya yang sememangnya lebih besar daripada biasa.

"Kedua, peningkatan jangkitan kes Covid-19 dan pelaksanaan PKP yang menyebabkan ramai memilih untuk berada di rumah. Maka, permintaan pembelian dalam talian pastinya terus meningkat sehingga boleh mencapai lebih 200 mata," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Uzir
Mohd Uzir

Tambahnya, tahun ini sahaja memperlihatkan peningkatan antara 18 peratus hingga 28 peratus di mana bulan lalu sahaja hampir RM42 bilion dibelanjakan ketika pengeluaran i-Sinar dibuat.

"Selain hari raya, tidak terkecuali orang ramai masih berbelanja dengan banyak terutamanya ketika dapat membuat pengeluaran i-Sinar hampir RM42 bilion pada bulan lalu.

"Selain itu, pada bulan Ramadan, kita dapat lihat tempat atau hotel yang menyediakan santapan ‘bufet’ sentiasa penuh sehingga ada yang terpaksa makan di luar atau perkarangan dewan.

"Jualan kereta pada tahun ini juga meningkat kerana orang ambil kesempatan atas pelepasan cukai,” katanya.

Dalam pada itu, penyedia perkhidmatan dan laman web e-dagang, iPrice Group mendapati menerusi kaji selidik data mereka di tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, antara barang carian utama pada bulan Ramadan ialah kaftan (baju raya), produk kecantikan kulit dan minyak wangi.

"Walaupun ini adalah Ramadan kedua di tengah-tengah Covid-19, namun itu tidak bererti umat Islam di tiga negara ini akan menghentikan keriangan menyambut lebaran.

"Data kami menunjukkan peningkatan carian dalam item seperti produk penjagaan kulit (8,140 peratus), kaftan (baju raya) (8,773 peratus) dan minyak wangi (6,078 peratus) di tiga negara ini.

"Dengan Syawal bulan untuk meraikan kemenangan Ramadan, umat ​​Islam cenderung kelihatan lebih cantik dengan pakaian yang bergaya dan kulit yang sempurna," kata laman web e-dagang berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!