Manchester City juara EPL

City mengesahkan kejuaraan EPL buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.
City mengesahkan kejuaraan EPL buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.
A
A
A

MANCHESTER City akhirnya mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas pencabar terdekatnya, Manchester United tewas mengejut 1-2 kepada Leicester City di Old Trafford awal pagi tadi.

Kekalahan United itu menyaksikan The Red Devils tidak lagi dapat mengejar kedudukan City apabila kedua-dua pasukan kini dibezakan 10 mata tatkala masing-masing bakal menghadapi tiga baki perlawanan liga.

Bagi City, ia merupakan kejayaan kelima mereka menjuarai EPL selepas turut ditabalkan selaku juara pada musim 2011/2012, 2013/2014, 2017/2018 dan 2018/2019.

Lebih manis, skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola itu merampas gelaran juara di tangan Liverpool, sekali gus menyambar trofi EPL buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.

Dengan kejayaan itu, City kini berjaya menyamai pencapaian Chelsea apabila mendakap trofi liga kali kelima dalam sejarah kelab itu manakala United masih gah dengan 13 gelaran EPL.

Selepas turut memenangi Piala Liga bulan lalu, City kini berpeluang merangkul kejuaraan treble apabila dijadualkan menentang Chelsea pada aksi final Liga Juara-Juara di Istanbul pada 29 Mei ini.

Dalam aksi di Old Trafford awal pagi tadi, United terlebih dulu ketinggalan apabila Luke Thomas menjaringkan gol pembukaan Leicester seawal minit ke-10.

Bagaimanapun, United tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila bintang muda, Mason Greenwood meledak gol penyamaan berselang empat minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Leicester yang kini dalam misi memburu slot Liga Juara-Juara musim depan memperoleh gol kemenangan hasil jaringan Caglar Soyuncu pada minit ke-66.

KEDUDUKAN (P M S K J B MT)

1. Manchester City 35 25 5 5 72 26 80

2. Manchester United 35 20 10 5 68 38 70

3. Leicester City 36 20 6 10 65 44 66

4. Chelsea 35 18 10 7 55 32 64

5. West Ham United 35 17 7 11 55 45 58

6. Liverpool 34 16 9 9 57 39 57

7. Tottenham Hotspur 35 16 8 11 61 41 56

8. Everton 34 16 7 11 46 42 55

9. Arsenal 35 15 7 13 49 38 52

10. Leeds United 35 15 5 15 53 53 50

11. Aston Villa 34 14 6 14 49 41 48

12. Wolverhampton Wanderers 35 12 9 14 35 47 45

13. Crystal Palace 35 11 8 16 37 59 41

14. Southampton 35 11 7 17 44 62 40

15. Burnley 35 10 9 16 33 47 39

16. Newcastle United 35 10 9 16 40 58 39

17. Brighton & Hove Albion 35 8 13 14 36 41 37

18. Fulham 35 5 12 18 25 47 27

19. West Bromwich Albion 35 5 11 19 32 68 26

20. Sheffield United 35 5 2 28 18 62 17