X

Kindly register in order to view this article
!

Bengang rumah jadi tandas tetap kucing jiran

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

MERAK Jalanan suka dengan kucing tetapi tidak suka membelanya sebagai haiwan peliharaan di rumah.

Ini kerana, orang rumah Merak Jalanan mengendalikan home-based business berkaitan makanan.

Maka, aspek kebersihan amatlah dititikberatkan. Oleh itu, isteri awal-awal lagi beri amaran tentang kucing: “Boleh tengok, tak boleh bela.”

Namun, apa yang dikesalkan, sikap segelintir jiran tetangga yang kurang sensitif dengan membiarkan kucing kesayangan mereka membuang najis di hadapan rumah orang lain termasuk rumah Merak Jalanan.

Minggu lepas sahaja, lima malam berturut-turut Merak Jalanan melakukan ‘kerja amal’ membersihkan najis dan muntah kucing.

Jiran sebelah pula, mulutnya kumat-kamit mengeluarkan perkataan beruk, biawak dan haiwan haram yang satu lagi kerana kawasan parkirnya turut menjadi ‘tandas tetap kucing’.

Berbalik kepada isu najis kucing, Merak Jalanan teringat dengan pesanan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menasihatkan umat Islam jangan memelihara kucing di rumah mereka sekiranya hobi itu boleh menimbulkan masalah dalam keluarga dan kehidupan berjiran.

Beliau berkata, pemilik kucing harus menjaga haiwan peliharaan mereka dengan terurus dan jangan membiarkan kucing itu bebas keluar ke rumah jiran dan membuang najis di situ sehingga menyusahkan jiran tetangga.

Katanya lagi, jika kucing seseorang pergi dan membuang najis di rumah jiran tidak berdosa bagi jiran itu menangkap dan membuang kucing itu ke tempat lain.

Apa pun, Merak Jalanan berharap pemilik kucing lebih sensitif sekali gus dapat mengelakkan jiran tetangga bermasam muka lebih-lebih lagi umat Islam di negara ini bakal menyambut kedatangan 1 Syawal esok.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!