PIDM tak lindungi penipuan kewangan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PADA 1 April, 2021, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional telah memaklumkan kepada pengguna Malaysia mengenai peningkatan mendadak aduan berkaitan penipuan kewangan dan menasihatkan pengguna supaya berhati-hati terhadap penipuan tersebut.

Sebagai sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan untuk konsumer kewangan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) amat mengambil berat tentang hal ini.

PIDM ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa PIDM hanya melindungi deposit yang disimpan mereka dengan bank dan/atau institusi kewangan yang merupakan ahli PIDM sahaja. Ini adalah menurut mandat yang diberikan kepada PIDM di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005.

Pendeposit boleh menyemak senarai institusi ahli PIDM di:

1)https://www.pidm.gov.my/bm/for-public/deposit-insurance-system-dis/member-banks/ (untuk senarai bank-bank ahli)

2)https://www.pidm.gov.bm/en/for-public/takaful-and-insurance-benefits-protection-system/insurer-members/ (untuk senarai ahli penginsurans)

PIDM ingin juga menekankan bahawa PIDM tidak melindungi simpanan berbentuk pelaburan dan yang berbentuk digital pada masa ini, umpamanya, e-dompet (e-wallet), tokenisasi (tokenisation) serta matawang kripto (crypto currency).

Hasil pemantauan PIDM juga mendapati ada syarikat pelaburan menyalahgunakan logo PIDM sebagai umpan dan sekaligus memberikan tanggapan yang salah bahawa ‘pelaburan’ mereka dilindungi oleh PIDM.

Artikel Berkaitan:

Pendeposit adalah digalakkan untuk menyemak senarai ‘pelaburan’ yang menyalahgunakan logo PIDM di https://www.pidm.gov.my/en/awareness-initiatives/financial-consumer-alert/financial-consumer-alert-2-1/.

Sebagai langkah mengurangkan risiko penyalahgunaan, dekal dan logo PIDM dalam bentuk fizikal hanya diberikan kepada institusi ahli PIDM sahaja dan harus dipaparkan di pintu hadapan cawangan atau pejabat institusi ahli PIDM.

Dalam apa jua hal yang melibatkan wang, terutamanya dalam amaun yang banyak, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak berkongsi maklumat ini dengan orang lain seperti di akaun media sosial.

Tanpa disedari, anda mungkin sudah menjadi sasaran kepada penipu kewangan yang mengetahui maklumat tentang simpanan atau pelaburan anda.

Orang ramai adalah dinasihatkan supaya lebih teliti dan sentiasa was-was sebelum membuat komitmen ‘pelaburan’.

Sekiranya, tidak pasti, jangan buat pelaburan dan tangguh komitmen sehingga mendapat kepastian.

Berikut adalah langkah-langkah waspada yang harus diingati:

1.Tiada bank, syarikat takaful dan syarikat insurans yang akan menuntut anda untuk membuat pembayaran untuk perlindungan PIDM apatah lagi melalui pemindahan dalam talian.

2.Mereka juga tidak akan meminta anda memberikan butiran peribadi anda di tempat kejadian, seperti butiran akaun bank, nombor kad kredit/debit, nombor kad pengenalan, nombor keselamatan sosial atau kata laluan.

3.Sentiasa hubungi sumber yang sepatutnya dengan menggunakan alamat e-mel atau nombor telefon yang anda tahu adalah sah, seperti dari laman web mereka atau penyata bank.

4.Sebelum membuat sebarang pembayaran dalam talian, sila semak nombor akaun bank atau nombor telefon melalui aplikasi "Semak Mule" Polis Diraja Malaysia untuk mengenal pasti sama ada pemegang akaun adalah penipu. Pengguna boleh log masuk ke laman web di https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Sentiasa rasa curiga apabila seseorang menghubungi anda tanpa diduga dalam talian dan meminta maklumat peribadi anda.

Tidak kira betapa sahnya e-mel atau laman web mungkin kelihatan, anda seharusnya hanya buka e-mel, balas mesej teks, mel suara atau pemanggil daripada orang atau organisasi yang anda kenali.

PIDM tidak melindungi duit yang dikebas melalui skema penipuan kewangan. Biar berjaga sekarang daripada menyesal kemudian.

* Ivlynn Yap ialah Pengurus Besar, Komunikasi dan Perhubungan Awam, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).