Perang tidak ganggu persiapan raya di bandar Yemen

Persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri masih dilakukan oleh penduduk bandar Marib di Yemen walaupun negara itu dilanda perang saudara sejak tahun 2014. - Foto AFP
Persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri masih dilakukan oleh penduduk bandar Marib di Yemen walaupun negara itu dilanda perang saudara sejak tahun 2014. - Foto AFP
A
A
A

PASAR di bandar Marib, Yemen sibuk dengan orang ramai yang melakukan persiapan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun pertempuran bersenjata berlaku di kawasan berhampiran antara tentera kerajaan dengan anggota-anggota kumpulan Houthi.

Ketika orang ramai membeli-belah dalam minggu ini di bandar tersebut bagi membeli pakaian, manisan dan kacang untuk berbuka puasa pada hari-hari terakhir bulan Ramadan, anggota-anggota tentera pro kerajaan berdiri sambil memegang senjata raifal ketika melakukan kawalan.

Sejak Februari lalu, tentera pro kerajaan telah bertempur dengan anggota-anggota kumpulan Houthi yang melancarkan kempen bagi mengambil alih bandar Marib dan telaga-telaga minyak di sekitar kawasannya.

Marib merupakan satu-satunya bandar di utara Yemen yang dikuasai oleh kerajaan Yemen selepas bandar Sanaa ditawan sepenuhnya oleh kumpulan pemberontak Houthi daripada tentera kerajaan pada September 2014.

Bagaimanapun, penduduk bersemangat untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri walaupun perang saudara yang berlaku sejak tahun 2014 dan masih belum berakhir itu telah memusnahkan negara berkenaan sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap ia sebagai penyebab berlakunya krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

"Bilangan orang untuk (persiapan) Aidilfitri kali ini adalah seperti dua tahun sebelumnya. Syukur kepada Tuhan, semuanya baik walaupun apa yang telah berlaku di sekitar Marib," kata seorang pemilik sebuah kedai di Marib, Mohammed Ibrahim kepada AFP.

Marib yang terletak kira-kira 120 kilometer ke timur ibu negara Sanaa telah menyaksikan ketidakstabilan berlaku di negara tersebut sejak perang saudara meletus pada tahun 2014.

Ia menjadi tempat selamat bagi ratusan ribu penduduk yang melarikan diri daripada pertempuran antara pihak kerajaan dengan kumpulan Houthi yang didakwa mendapat sokongan dari Iran.

Artikel Berkaitan:

Gambar fail menunjukkan beberapa penduduk Yemen membeli-belah di sebuah pasar di bandar Marib, utara Yemen. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa penduduk Yemen membeli-belah di sebuah pasar di bandar Marib, utara Yemen. - Foto AFP

Jika kalah kepada kumpulan Houthi, kerajaan Yemen yang diiktiraf PBB dan mendapat sokongan tentera perikatan diketuai Arab Saudi akan menerima tamparan hebat dan kemungkinan akan menyebabkan satu malapetaka kemanusiaan setelah PBB menganggarkan lebih 200,000 orang terbunuh dalam perang tersebut.

Perang di Yemen itu bermula selepas kegagalan perubahan pentadbiran politik yang sepatutnya membawa kestabilan kepada Yemen selepas berlaku penyerahan kuasa daripada bekas Presiden negara itu yang memerintah secara autoritarian selama kira-kira 33 tahun iaitu Ali Abdullah Saleh kepada timbalannya, Abdrabbuh Mansour Hadi yang akhirnya berlaku pada tahun 2011 walaupun terlewat beberapa bulan.

Menurut portal berita BBC, pergerakan Houthi yang memperjuangkan golongan minoriti Syiah dan pernah bangkit menentang pemerintahan Saleh ketika beliau memerintah telah mengambil kesempatan terhadap kelemahan Presiden baharu Yemen dengan mengambil alih kekuasaan di wilayah Saada di utara negara tersebut dan kawasan-kawasan berjiran dengannya.

Kebanyakan penduduk biasa di negara itu termasuk golongan Sunni menyokong kumpulan Houthi dan pada September 2014 ia berjaya menawan Sanaa daripada tentera kerajaan Yemen.

Namun, di bandar Marib, lampu-lampu kelap-kelip digantung di sekitar kedai-kedai dan gedung beli-belah di Marib yang mana kaum keluarga melalui banyak kedai yang menjual pelbagai barangan seperti kismis, gula-gula, sandal serta jam.

Para pelanggan dilihat membuat tawar-menawar dengan penjual pakaian baharu untuk Hari Raya Aidilfitri manakala beberapa orang lagi berjalan-jalan dan berbual tanpa penjarakan sosial serta tidak memakai pelitup muka sebagai cara untuk menghalang penularan Covid-19.

Terdapat juga pelanggan-pelanggan yang mengadu tentang harga tinggi dan kesusahan hidup akibat perang manakala ramai yang mendakwa mereka menemui keselesaan hidup ketika berada di bandar Marib.

"Walaupun harga barangan tinggi, terdapat kegembiraan dalam hati penduduk bandar Marib kerana terdapatnya (sandaran) keselamatan," kata seorang pemilik kedai, Hamdi Ahmed kepada AFP.

Sebelum ini, PBB berusaha menjadi pengantara untuk mendapatkan satu persetujuan antara kedua-dua pihak bagi menamatkan perang saudara tetapi pendekatan itu masih gagal untuk membuahkan hasil.

"Bagi penduduk Yemen, pergelutan di Marib mempunyai kepentingan iaitu untuk kehidupan mereka, anak-anak (serta) masa depan mereka," kata Abdallah al-Alimi iaitu ketua Pejabat Presiden Yemen.

Dalam pada itu, bagi seorang penduduk, Yehya al-Ahmedi yang tinggal di bandar tersebut, adalah jelas bahawa penduduk di bandar Marib tidak mahu Houthi memerintah Yemen.

"Ketika kumpulan Houthi cuba untuk memasuki bandar ini, penduduk (di bandar Marib) menolak (kehadiran) mereka," katanya kepada AFP. - Agensi