Naquib ungguli eRacing GP Edisi Global

Naquib harumkan nama Malaysia dengan kejayaan di Litar Zandvoort, Belanda.
Naquib harumkan nama Malaysia dengan kejayaan di Litar Zandvoort, Belanda.
A
A
A

PELUMBA maya sensasi negara, Naquib Azlan telah mencipta sejarah apabila dinobat sebagai juara keseluruhan Kejohanan eRacing Edisi Global kelima.

Pemuda berusia 20 tahun itu berdepan dengan saingan sengit diberikan oleh pelumba dari Australia, Josh Purwein bagi meraih kejuaraan sulungnya selepas sekadar menjadi naib juara pada empat edisi sebelumnya.

Meskipun bermula dengan agak perlahan, Naquib berupaya membuktikan kemampuannya apabila menidakkan Josh Purwein dalam kedudukan keseluruhan, sekali gus mendahului dengan kelebihan tujuh mata selepas selesai 10 perlumbaan.

Persaingan antara Purwein dan Naquib terserlah dalam perlumbaan kedua dengan format ‘reverse grid’ yang menyaksikan Purwein mendahului perlumbaan sementara Naquib pada satu ketika menghuni tempat kelapan.

Bagaimanapun, Naquib tidak berputus asa apabila akhirnya berjaya meraih tempat ketiga bagi mengesahkan kejuaraannya di Litar Zandvoort, Belanda.

“Memang sukar buat saya apatah lagi pada musim lepas, saya terlepas kejuaraan dibezakan dengan satu mata sahaja. Saya optimis dan tekad untuk melakukan sesuatu pada perlumbaan terakhir bagi muncul juara dan akhirnya usaha dan strategi saya berhasil,” kata Naquib.

Selepas tamat 10 perlumbaan musim ini, Naquib mengesahkan kejuaraan keseluruhan bagi kategori Kelas Emas dengan 142 mata diikuti Purwein, 135 mata dan pelumba Singapura, Muhammad Thasbeeh ketiga dengan 109 mata.

Sementara itu, pelumba Singapura, Nur Shazliehan mengungguli Kelas Perak sementara pelumba kelahiran Filipina, Francis Angelo Gonzales menjuarai Kelas Gangsa dan pelumba negara, Kelvin Pao menjuarai Kelas Tembaga.

Artikel Berkaitan:

Dalam kategori berpasukan pula menyaksikan Stratos Motorsports meraih 427 mata untuk dinobat selaku juara keseluruhan diikuti Tedco X Project Mu Racing dengan 328 mata dan Sim Racing Pilipinas di tempat ketiga dengan 268 mata.

“Ia memang sangat dinantikan oleh Naquib yang telah membuktikan kelas tersendiri selaku pelumba terbaik negara bukan sahaja di dalam dunia simulasi. Dia telah terpilih untuk mengikuti program pencarian bakat Toyota dan telah memenangi perlumbaan maya dan sebenar di Sepang. Jadi, dia adalah bakat baharu untuk masa depan.

“Kita berharap untuk mencari lebih ramai bakat yang akan tampil pada edisi ke-6 eRacing Edisi Global,” ujar Alex Yoong, pengasas Axle Sports yang juga penganjur perlumbaan.

Kejohanan eRacing Edisi Global kelima ini melabuhkan tirai dengan Malaysia muncul juara Nations Cup buat kali kedua apabila mengumpul 695 mata diikuti Singapura, 487 mata dan Filipina, 471 mata.