X

Kindly register in order to view this article
!

Giliran PSS pula tinggalkan PSM

Markiman
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Selangor (PSS) menjadi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ketiga mengumumkan penarikan diri daripada badan induk itu berkuat kuasa pada Selasa.

Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran berkata, mesyuarat khas PSS bersetuju bahawa persatuan itu telah hilang kepercayaan terhadap Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail susulan kemelut antara Ahmad, PSM dan Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Beliau berkata, mesyuarat secara maya pada Ahad lepas itu turut bersetuju PSS hilang keyakinan kepada pengurusan PSM dalam mentadbir, mengurus dan mempertahankan maruah serta kehormatan sukan sepak takraw negara.

“Oleh itu, mesyuarat setuju dan memberi mandat penuh untuk PSS menarik diri keluar daripada PSM berkuat kuasa serta-merta dan memberi mandat untuk terlibat menubuhkan dan menjadi ahli badan gabungan induk baharu sepak takraw yang akan menggantikan PSM,” katanya pada sidang media tergempar di Semenyih pada Selasa.

Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) muncul ahli gabungan pertama menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM pada Ahad lepas, sebelum Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) mengambil keputusan sama, semalam.

Kemelut dihadapi Ahmad dan PSM bersama ASTAF menyaksikan Ahmad digantung selama 15 tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sepak takraw di peringkat tempatan dan antarabangsa oleh Jawatankuasa Tatatertib ASTAF pada 5 Mei lepas.

Bekas Timbalan Presiden ASTAF yang lebih dikenali sebagai Tok Mat turut diminta untuk membayar semula kepada ASTAF sebanyak US$25,000 (kira-kira RM102,900) bagi menampung kos pendengaran jawatankuasa tatatertib itu.

Empat pertuduhan dikenakan terhadap Ahmad atas tindakannya menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF.

Lebih parah, PSM turut digantung sementara oleh ASTAF atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

“Kemelut itu akan menyebabkan kebajikan pemain, jurulatih, kakitangan tidak dapat diuruskan dengan sempurna dan aktiviti asas PSM akan terhalang yang memberikan kesan negatif kepada sepak takraw negara,” tambah Markiman.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa persatuan lagi akan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM dalam masa terdekat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!