X

Kindly register in order to view this article
!

Enam kategori dibenarkan rentas daerah dan negeri: PDRM

Enam kategori dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang bermula Rabu ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan enam kategori yang dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang bermula Rabu ini.

Menurut Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Ketenteraman Awam Bukit Aman, M V Srikumar Nair, kategori pertama yang dibenarkan ialah ziarah kematian ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik, datuk dan nenek.

“Pemohon hendaklah mengemukakan bukti surat kematian atau permit pengebumian untuk permohonan menziarah kematian,” katanya menerusi satu temu bual dalam Berita Perdana RTM pada Selasa.

Beliau berkata, individu yang mempunyai urusan kecemasan yang memerlukan kehadiran pemohon dibenarkan merentas daerah dan negeri berserta bukti kejadian yang berlaku.

Seterusnya, pasangan jarak jauh dibenarkan merentas daerah dan negeri di mana salah satu pasangan boleh bergerak dengan membuktikan pasangan berada di tempat yang dituju.

Menurutnya, bagi urusan kerja pula, pemohon hanya perlu menunjukkan surat arahan kerja untuk tujuan pergerakan.

“Untuk tugas rasmi dan tugas menghantar barang keperluan dibenarkan bergerak berserta surat majikan, surat kebenaran kerja dan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagaimanapun, pemohon tidak dibenarkan untuk bergerak bersama ahli keluarga lain untuk ke lokasi tugas,” katanya.

Menurutnya, pergerakan untuk tujuan perubatan juga dibenarkan, manakala penerima vaksin hanya perlu menunjukkan keterangan janji temu di aplikasi MySejahtera.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua cuti pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibekukan sebagai persiapan untuk bertugas semasa musim perayaan.

“Lebih kurang 120,000 anggota polis tidak bercuti raya. Seramai 3,589 anggota polis bertugas bagi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

“SJR turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” ujarnya.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk membendung penularan virus Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!