X

Kindly register in order to view this article
!

Hampir 50 peratus mental kanak-kanak rentan terjejas

Hampir separuh mental kanak-kanak rentan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto UNICEF dan UNFPA
A
A

SHAH ALAM - Hampir separuh ibu bapa daripada keluarga berpendapatan rendah memaklumkan bahawa keadaan mental anak-anak mereka terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia berdasarkan dapatan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Menurut laporan tersebut, sebanyak 47 peratus ibu bapa menyatakan bahawa anak mereka terjejas dari segi mental dalam tempoh PKP bermula 13 Januari sehingga kini.

“Sebanyak 27 peratus anak-anak miskin bandar yang ketagih terhadap internet, media sosial mahupun telefon pintar dan 20 peratus mempunyai masalah tidur,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan UNICEF dan UNFPA pada Selasa.

Kajian yang dilakukan UNICEF dan UNFPA itu merupakan siri terakhir yang berdasarkan kajian dijalankan pada Mac 2021 iaitu bagi tempoh hampir genap setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 yang pertama dikuatkuasakan.

Siri kajian yang dilakukan pada Mei 2020, September 2020, Disember 2020 dan Mac 2021 itu melibatkan 500 keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di 16 flat perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Kaedah kajian dibahagikan kepada tiga aspek iaitu tinjauan sosioekonomi terhadap kesan Covid-19 ke atas kewangan isi rumah, temu ramah kesejahteraan mengenai kesan Covid-19 kepada keluarga dan keberkesanaan dasar-dasar kerajaan serta projek fotografi dan videografi bagi merakamkan kesan Covid-19 dari sudut pandang kanak-kanak.

Pada masa sama, kajian turut mendapati bahawa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah berdepan pelbagai halangan dalam mengikuti pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut laporan itu, sebanyak 61 peratus daripada semua isi rumah memaklumkan bahawa sudah hilang minat untuk belajar sepanjang tempoh sekolah ditutup susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Tambahnya, hanya 35 peratus isi rumah mempunyai akses kepada peranti yang wajar iaitu komputer atau tablet.

"Sementara itu, majoriti (88 peratus) daripada mereka bergantung kepada telefon pintar untuk menjalankan sesi pembelajaran daripada rumah.

“Berkait isu pendidikan, 62 peratus bersetuju program DidikTV yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini membantu menangani isu tersebut,” katanya.

Selain itu, menurut kenyataan, sebanyak 19 peratus ketua keluarga menyatakan bahawa mereka mengalami kemurungan pada Mac 2021 berbanding 30 peratus pada Disember 2020.

“Bagi ketua isi rumah wanita pula, sebanyak 22 peratus daripada responden menandakan bahawa mereka mengalami kemurungan pada Mac lepas dan 70 peratus tidak mempunyai sebarang masalah tekanan.

“Oleh itu, hampir dua daripada tiga bersamaan 65 peratus ibu bapa memerlukan bantuan dari segi mendapatkan nasihat berkaitan pengurusan anak-anak mereka,” ujar kenyataan itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!