KOM tangguh Terbuka Malaysia

SM Muthu
SM Muthu
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) menangguhkan sementara Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadualkan Jun depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, keputusan menangguhkan kejohanan yang dijadualkan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu diputuskan selepas pihaknya meletakkan keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan atlet.

Begitupun, Muthu mengakui penangguhan tersebut menjejaskan momentum dan semangat atlet yang teruja untuk membuktikan prestasi masing-masing selepas penganjuran Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada April lalu.

"KOM melihat dalam kalangan atlet yang mengambil bahagian adalah atlet berprospek tinggi untuk ke temasya besar seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA dan Sukan Asia.

"Jadi kita tidak mahu mengambil risiko mendedahkan mereka kepada jangkitan yang akan merugikan negara kelak. Lagipun status Terbuka Malaysia ditangguhkan sementara sekiranya situasi Covid-19 kembali reda.

"Selain itu seperti semua maklum kerajaan melaksanakan PKP bermula esok (Rabu) sehingga 7 Jun depan berikutan peningkatan kadar kes Covid-19, status kejohanan mengikuti perancangan pula bermula 11 hingga 13 Jun depan.

"Situasi ini secara tidak langsung menjejaskan persiapan atlet apatah lagi dengan larangan merentas negeri menyebabkan atlet dari negeri berdepan kesukaran hadir ke venue pertandingan.

"Apapun suka saya jelaskan di sini bahawa KOM akan menilai semula penganjuran Terbuka Malaysia sebaik situasi semasa kes Covid-19 dalam negara reda selepas mendapat nasihat Kementerian Belia Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, atlet olahraga negara memanfaatkan GP Malaysia dari 10 hingga 11 April lalu sebagai pentas kompetitif pertama mereka selepas pembatalan dan penangguhan beberapa acara acara olahraga sejak penularan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Muthu memaklumkan KOM menyenaraikan beberapa atlet negara bagi menghadapi XXX Qosanov Memorial Athletics Championship di Almaty, Kazakhstan pada 19 hingga 20 Jun depan berikutan penangguhan sementara Terbuka Malaysia.

Bagi tujuan itu, Muthu memberitahu, KOM telah menulis surat kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan memaklumkan perkara tersebut untuk pertimbangan MKN.

"Peserta yang pergi kena buat ujian PCR 72 jam sebelum tiba di Almaty. Mereka tidak akan dikuarantin di Kazakhstan sebaliknya apabila balik ke Malaysia mereka perlu masuk jalani kuarantin 10 hingga 14 hari tertakluk kepada arahan MKN pada masa itu.

"Apabila atlet negara dapat menyertai kejohanan kompetetif ini secara tidak langsung mereka dapat menilai kemampuan serta meningkatkan potensi diri masing-masing.

"Atlet-atlet dipilih adalah atlet yang berpotensi layak ke Sukan Olimpik yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina selain atlet yang telah mencipta rekod kebangsaan.

"Antara atlet negara yang akan menyahut cabaran di Kazakhstan adalah Lee Hup Wei, Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura, Muhammad Hakimi Ismail, Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Muhammad Ilham Suhaimi, Khairul Hafiz Jantan, Rayzam Shah, Connie Chu Kang Ni, Yap Sean Yee.

"Nauraj Singh diberi peluang bertanding tetapi menolak kerana ingin bertanding di Eropah," katanya.

Pada masa sama, Muthu menasihati atlet trek dan balapan serta komuniti olahraga negara untuk meningkatkan tahap disiplin masing-masing pada tahap tinggi dalam memutuskan rantaian Covid-19.

"Saya harap semua atlet sentiasa peka situasi semasa pandemik Covid-19 dengan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan pada masa ini.

"Sejujurnya saya seperti atlet lain juga sedih dengan penangguhan kejohanan olahraga seperti Terbuka Malaysia kerana sememangnya kita mengharapkan pertandingan kompetetif. Cumanya pada masa ini saya minta semua atlet bersabar dahulu dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan," ujarnya.