PKP 3.0 dijangka tidak beri impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) pada 10 Mei 2021 dijangka tidak akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penutupan keseluruhan sektor ekonomi akan lebih memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas berbanding mereka yang berkemampuan.

“Penutupan keseluruhan ekonomi seperti PKP 1.0 akan menyaksikan pengangguran bakal mencecah tujuh peratus (atau lebih 1 juta penganggur) yang akan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita serta mereka yang berkemahiran/berpendapatan rendah.

“Di samping risiko pengangguran, golongan bekerja sendiri dan lebih kurang 2.8 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro juga lebih berisiko mengalami kekurangan pendapatan ekoran penutupan ekonomi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, dengan pelaksanaan semula PKP 3.0, beberapa segmen sektor perkhidmatan yang berteraskan interaksi fizikal termasuk pelancongan dijangka akan terus terkesan akibat larangan merentas negeri dan pengekangan aktiviti sosial.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan terus berkembang berdasarkan unjuran pada kadar 6 peratus hingga 7.5 peratus, selaras dengan anggaran Dana Kewangan Antarabangsa (6.5 peratus), Bank Dunia (6.0 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (6 peratus).

“Selain itu, pemulihan ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi rakan dagangan utama seperti Singapura yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.2 peratus, China (18.3 peratus) dan Amerika Syarikat (0.4 peratus) pada suku pertama 2021.

“Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga akan mendorong pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pemulihan sentimen pengguna, dan seterusnya pertumbuhan serta daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kerajaan sentiasa berwaspada bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih lagi berhadapan dengan risiko dan ketidaktentuan persekitaran ekonomi domestik dan global yang sentiasa berubah-ubah.

Ia termasuklah penularan varian baharu Covid-19 yang dilihat semakin meluas di seluruh dunia, menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan rakan perdagangan berikutan pelaksanaan semula langkah pembendungan yang lebih ketat; dan gangguan bekalan vaksin Covid-19 yang akan membantutkan usaha mencapai imuniti kelompok.

Mengenai kadar KDNK bagi suku pertama 2021 yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Negara hari ini, Tengku Zafrul berkata, kadar ini mencerminkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan menunjukkan bahawa negara terus menuju ke arah pemulihan, walaupun PKP 2.0 dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Kadar KDNK yang diumumkan bagi suku pertama 2021 ialah negatif 0.5 peratus dari tahun ke tahun, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding negatif 3.4 peratus pada suku keempat 2020.

“Pertumbuhan suku pertama 2021 ini didorong oleh pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 6.6 peratus (suku keempat 2020: 3.0 peratus) dan sektor pertanian sebanyak 0.4 peratus (suku keempat 2020: negatif 1.0 peratus) dari tahun ke tahun.

“Secara keseluruhan, kesemua sektor ekonomi negara telah menunjukkan tanda pemulihan melalui penguncupan tahunan yang lebih kecil berbanding suku tahunan sebelum ini,” katanya. - Bernama