X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas CEO Perak FC tak boleh lari

Rizal Ali
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) mahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali melunaskan tunggakan gaji pemain Perak FC meskipun beliau meletak jawatan pada Isnin.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, ini kerana tunggakan gaji berkenaan masih belum selesai dan tiada mana-mana pihak yang sanggup bertanggungjawab ke atas masalah tersebut.

"Memang dia letak jawatan tetapi adakah dengan peletakan jawatan itu masalah tunggakan gaji pemain ini selesai? Tidak boleh sewenang-wenangnya ambil tindakan begitu tanpa ada solusi untuk mengubah keadaan ini.

"PAFA sendiri tidak akan bertanggungjawab untuk perkara itu kerana kita sudah maklumkan kepada mereka sebelum ini bahawa apa jua perkara yang membabitkan Perak FC adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pengurusan Perak FC," katanya pada Isnin.

Terdahulu, Rizal Ali mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta selain menegaskan bertanggungjawab atas masalah yang berlaku terhadap pasukan.

Beliau dalam kenyataan sama turut membuka laluan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menerajui Perak FC.

ARTIKEL BERKAITAN: CEO Perak FC letak jawatan

Mengulas lanjut, Muhammad Yadzan berkata, permasalahan yang membabitkan Perak FC itu juga sebenarnya sudah lama berlaku namun tiada sebarang tindakan proaktif yang diambil oleh pihak pengurusan untuk menyelesaikannya.

"Tunggakan gaji ini bukan baru berlaku tetapi mereka macam acuh tidak acuh, sehinggakan sampai satu tahap terpaksa menagih simpati daripada kerajaan negeri untuk selesaikan masalah ini. Adakah ini yang dikatakan profesional?," katanya.

Mengulas mengenai hala tuju Perak FC, beliau berkata, pihak pengurusan perlu mencari penaja yang berkredibiliti dalam masa terdekat bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

"Tidak kira macam mana pun, penaja ini adalah perkara utama untuk teruskan kelangsungan Perak FC. Tapi perlu diingat, untuk cari penaja bukan boleh main serkap jarang. Kena arif kepada perkara yang membabitkan pengurusan berpasukan, cara untuk bayar gaji dan sebagainya," kata beliau.

Sementara itu, usaha Bernama menghubungi Rizal Ali bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung peletakan jawatan dan tunggakan gaji tidak berhasil. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!