Pensyarah ditahan kes rasuah ubah keputusan peperiksaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pensyarah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah kerana mengubah keputusan peperiksaan.

Difahamkan, pensyarah lelaki berusia 29 tahun itu bertugas di sebuah akademi swasta dan ditahan kira-kira jam 2 petang Selasa di Pejabat SPRM Johor.

Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, dia dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM300 setiap orang daripada lima pelajar di institut berkenaan pada tahun ini.

Ia bagi tujuan mengubah keputusan ujian subjek Animation 2-Rigging daripada gagal kepada lulus.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Artikel Berkaitan: