X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Potong gelang di CAC: Tiada jangkitan antara pesakit Covid-19

Keadaan yang sesak di CAC Stadium Malawati, Shah Alam menimbulkan kebimbangan akibat berlaku percampuran antara bekas pesakit Covid-19 dan pesakit yang baru disahkan positif. Gambar kecil: Dr Siti Mariah
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa pesakit Covid-19 hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, di sini bakal mencetuskan kluster baharu tidak tepat kerana pesakit tersebut tidak boleh menjangkiti antara satu sama lain.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mengesahkan perkara tersebut setelah terdapat bekas pesakit Covid-19 yang bimbang dengan percampuran antara pesakit yang baru disahkan positif Covid-19 dan mereka yang baru tamat tempoh kuarantin.

Menurutnya, tidak ada pengasingan lorong untuk pesakit yang sembuh dengan pesakit yang baru tiba di CAC untuk mengetahui lokasi ke pusat kuarantin atau rawatan selanjutnya kerana pesakit yang positif mempunyai imuniti selama tiga bulan dan tidak ada masalah bercampur dengan orang yang positif Covid-19.

“CAC ialah tempat percubaan untuk buat keputusan tentang lokasi penempatan pesakit ke pusat kuarantin dan tempat untuk mendapatkan rawatan, sama ada kuarantin di rumah dan MAEPS untuk pesakit tiada simptom atau tahap satu dan dua; atau ke hospital jika bergejala.

“Namun begitu, keputusan untuk lokasi pemotongan gelang bagi pesakit Covid-19 tertakluk kepada pengurusan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Selasa, seorang bekas pesakit Covid-19 melahirkan kebimbangan apabila mendakwa perlu bercampur semula dengan orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, di sini hanya untuk memotong gelang merah jambu.

Dia mendakwa diarahkan oleh kakitangan KKM yang memantaunya di sebuah hotel di Cheras untuk kembali ke CAC untuk memotong gelang tersebut setelah tamat tempoh kuarantin di sana.

Menurutnya, dia berasa resah apabila mendapati dirinya terpaksa beratur bersama orang lain yang positif Covid-19 dan mereka yang sedang mendapatkan kepastian daripada pihak KKM untuk mengetahui lokasi pusat kuarantin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!