Malaysia kutuk serangan udara Israel di Gaza

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tentera rejim Israel ke Semenanjung Gaza pada 10 Mei 2021 yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh Israel itu secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

"Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

"Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan," kata Muhyiddin.

Pada masa sama, Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan tindakan kejam terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Oleh yang demikian, katanya, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.

"Dalam waktu-waktu sukar ini, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin.

"Malaysia juga turut mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1997, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel," ujarnya.

Artikel Berkaitan: