Kerajaan tolak dakwaan tidak serius tangani Covid-19

Ismail Sabri (kanan) bersama Dr Noor Hisham pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa.
Ismail Sabri (kanan) bersama Dr Noor Hisham pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menolak dakwaan pihak tertentu bahawa pihaknya tidak serius dalam menangani pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang dilakukan kerajaan tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

"Sebenarnya kerajaan mendapat pandangan berbeza daripada rakyat. Apabila umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, ramai yang marah, bila umum PKP 3.0 juga, ada juga marah," katanya pada sidang akhbar yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di sini pada Selasa.

Menurutnya, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut diadakan tiga kali seminggu berbanding sebelum ini sekali dan dua kali setiap minggu.

"Dalam memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP), ia akan melalui pelbagai peringkat," katanya.

Beliau berkata, setiap kementerian akan mengemukakan cadangan SOP kepada jawatankuasa teknikal.

"Selepas ia dinilai, barulah dibentangkan kepada MKN sebelum keputusan dicapai," katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat MKN bersetuju untuk menyeragamkan SOP bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.

Artikel Berkaitan:

"Hanya satu standard SOP di seluruh negara yang melibatkan kesemua kementerian," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang telah dipersetujui antaranya protokol aktiviti sosial yang dibenarkan.

"Maklumat lanjut mengenai SOP boleh diperoleh di laman web kementerian," katanya.

Tambahnya, sekiranya berlaku perubahan terhadap SOP, ia dilakukan mengikut kesesuaian semasa.

"Ia sama seperti kes Covid-19 yang dinamik. Kita perlu sediakan SOP mengikut keadaan semasa," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan PKP 3.0 yang tidak ketat seperti PKP 1.0, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak mahu menyusahkan rakyat selain perlu mengimbangi sektor ekonomi dan kesihatan.

"Negara kehilangan RM2.4 bilion sehari kerana kita menutup sekitar ekonomi dan yang paling teruk terjejas adalah peniaga kecil.

"Daripada kesusahan lain, kita tak benarkan rakyat keluar rumah. Bayangkan rumah pangsa dua bilik berkeluasan 650 kaki persegi, mereka duduk di dalam tu beberapa bulan, betapa seksanya mereka," katanya.

Katanya, ramai yang terkesan akibat pelaksanaan PKP1.0 sehingga hilang mata pencarian.

"Inilah sebabnya kenapa kita perkenalkan PKP tetapi tidak terlalu strict," katanya.

Sementara itu, pada perkembangan sama, Ismail berkata, sehingga Mei, sebanyak 77 premis kilang ditutup selepas penilaian risiko dibuat.

"Ramai yang ingat tiada kilang ditutup. Mungkin sebab kita tidak uar-uarkan," katanya.

Ujarnya, sekiranya berlaku jangkitan di kilang, KKM akan melakukan pengesanan kontak rapat.

"Mereka turut akan dikuarantin sehingga tamat tempoh," katanya.