Covid-19: 3,973 kes baharu, 22 kematian

Malaysia merekodkan 3,973 kes baharu menjadikan kes kumulatif Covid-19 di dalam negara kini 448,457 kes.
Malaysia merekodkan 3,973 kes baharu menjadikan kes kumulatif Covid-19 di dalam negara kini 448,457 kes.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia terus merekodkan kes Covid-19 harian melebihi angka 3,000, dengan sejumlah 3,973 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes positif mencecah 448,457 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 2,848 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 408,236 kes manakala kes aktif kini 38,499.

Beliau berkata, sejumlah 453 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 244 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,722 kes, susulan 22 kematian baharu dilaporkan hari ini.

Kes kematian itu melibatkan semua warganegara berumur antara 31 hingga 85 tahun dengan majoriti menghidap penyakit kronik.

Dr Noor Hisham berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Sementara itu, menerusi kenyataan media rasmi mengenai penularan Covid-19, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 13 lagi kluster baharu dikesan pada Selasa termasuk empat daripadanya melibatkan kluster keagamaan dan tiga kluster di tempat kerja.

Kluster keagamaan melibatkan Kluster Jalan Haji Abdul Aziz di Selangor, Kluster Pauh Lima (Kelantan), Kluster Jalan Dato Setia (Johor) dan Kluster Dah Penghulu (Kedah) manakala kluster di tempat kerja meliputi Kluster Jalan Utarid Lima dan Kluster Jalan Sepuluh Industri Miel di Selangor serta KlusterJalan Serkam di Melaka dan Johor.

Bagi kluster komuniti membabitkan Kluster Bako Hilir di Sarawak dan Banggol Gajah Mati di Kelantan, manakala Kluster Dah Amanjaya 2 di Kedah adalah kluster kumpulan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Kluster Kota Warisan di Selangor adalah Kluster Institusi Pendidikan; Kluster Jalan Lingkaran Ilmu di Johor (Kluster Pendidikan Tinggi) dan Kluster Jalan Mempelam di Selangor (Institusi Pendidikan Swasta Berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan),” katanya.

Mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai esok, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga berasa berat hati kerana memikirkan kesannya kepada sektor-sektor lain yang terpaksa ditutup sementara, namun pendekatan itu (PKP) terpaksa diambil kerajaan memandangkan penularan Covid-19 didapati semakin meruncing dalam negara.

“Dengan jumlah kes harian sekitar 4,000 kes, 38,499 kes aktif dan 1,722 kes kematian dilaporkan setakat hari ini, Malaysia sedang berhadapan dengan kesinambungan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” katanya. - Bernama