AirAsia Grup temui KWSP, terbuka juga kepada MAHB

Tan Sri Tony Fernandes
A
A

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Bhd (AAGB) mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini berhubung pertikaiannya dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kumpulan itu telah menjelaskan bahawa ia amat gembira untuk menemui MAHB pada bila-bila masa dan apa yang dikehendaki ialah model kos rendahnya dihargai.

“Untuk mendapat tambang rendah, kita memerlukan kos yang rendah. Untuk mendapat kos rendah, kita memerlukan lapangan terbang yang mudah. Untuk mendapat tambang rendah, kita memerlukan cukai lapangan terbang yang rendah untuk membolehkan semua orang dapat menggunakan perkhidmatan kapal terbang,” katanya dalam laman mikro Twitternya.

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP masih menunggu respons MAHB

Fernandes berkata, terdapat banyak momentum di lapangan terbang kos rendah.

“Saya rasa pengguna mahu cukai lapangan terbang yang rendah. Kebanyakan negara mahu terminal kos rendah.

“Mereka kini melihat hakikat bahawa lapangan terbang tidak menepati semua dan untuk meraih kedua-dua pasaran, mereka memerlukan lapangan terbang kos rendah dan lapangan terbang dengan perkhidmatan penuh,” katanya.

KWSP merupakan pemegang saham utama MAHB dan AAGB, dengan memegang, masing-masing lebih 10 peratus dan lima peratus daripada syarikat tersebut.

Caj perkhidmatan penumpang sering menjadi perdebatan antara pengendali lapangan terbang itu dan syarikat penerbangan kos rendah tersebut, dalam media dan media sosial.

MAHB memfailkan tuntutan terhadap AirAsia dan AirAsia X Bhd (AAX) pada Disember tahun lepas berhubung caj perkhidmatan penumpang yang tidak dikutip sebanyak RM36.1 juta.

AirAsia Bhd memfailkan tuntutan balas lebih RM400 juta terhadap MAHB bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia dan AAX disebabkan gangguan operasi yang didakwa di klia2.

Pada 2.36 petang, AAGB susut tiga sen kepada RM2.96 dengan 4.37 juta unit bertukar tangan manakala MAHB meningkat enam sen kepada RM8 dengan 111,500 saham diniagakan. - Bernama